Anwar tidak bimbang Isa Samad bertanding PRK Port Dickson
Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim menganggap keputusan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Encik Mohd Isa Abdul Samad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan satu cabaran.
Gambar fail Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Olivia Harris/Reuters)
SEREMBAN: Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim menganggap keputusan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Encik Mohd Isa Abdul Samad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan satu cabaran.
Pada masa yang sama, Encik Anwar berkata tiada halangan kepada mana-mana individu atau parti politik yang ingin meletakkan calon bertanding PRK Port Dickson itu kerana negara itu mengamalkan sistem demokrasi.
“Itu haknya sebagai rakyat, saya tidak mahu komen, dalam sistem demokrasi rakyat putuskan.
“Beliau bermasalah dan diketahui umum, biar rakyat putuskan sebaiknya,” kata beliau kepada para wartawan ketika menghadiri tayangan khas filem Tamil, Chekka Chivantha Vaanam, malam semalam (27 Sep).
Encik Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Encik Mohd Isa semalam (27 Sep) yang mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Parlimen Port Dickson.
Dalam pada itu, Encik Anwar enggan mengulas kemungkinan individu lain yang turut menjadi calon pada PRK itu, antaranya mantan Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan mantan senator Mohd Ezam Mohd Nor.
Sementara itu, Encik Anwar mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRK tersebut agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Saya juga sudah beritahu rakan-rakan jangan gunakan jentera kerajaan, biar badan bukan kerajaan atau badan parti politik bekerjasama,” katanya.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Encik Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, pada 12 September lalu, bagi membolehkan Encik Anwar yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Encik Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Encik V.S.Mogan dan Encik Mahfuz Roslan daripada PAS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.