Skip to main content

Dunia

Anwar tegas siasatan telus akan dijalankan terhadap kes kematian pelajar di Sabah selepas dipercayai dibuli

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar tegas siasatan telus akan dijalankan terhadap kes kematian pelajar di Sabah selepas dipercayai dibuli

Gambar Zara Qairina Mahathir yang tersebar online, seorang pelajar di Sabah yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Angkol)

Diterbitkan : 04 Aug 2025 06:42PM Dikemas Kini : 04 Aug 2025 06:44PM
KOTA KINABALU: Kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.

Perdana Menteri itu berkata siasatan harus dilakukan dengan segera dan menyeluruh.

“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan,” kata beliau berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di Kota Kinabalu pada Ahad (3 Ogos).

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dan timbalannya Arthur Joseph Kurup.

PM Anwar turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau tuduhan tanpa bukti, sambil menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara berteraskan undang-undang.

“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” kata PM Anwar.

Zara Qairina, 13 tahun, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4.00 pagi, 16 Julai.

Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial. 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita