Anwar sangkal dakwaan penyokongnya dalang video intim menyasarkan Azmin
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan beliau merupakan dalang di sebalik penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

Gambar fail Anuwar Ibrahim. (Gambar: Edgar Su/Reuters)
PORT DICKSON: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan beliau merupakan dalang di sebalik penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.
Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, tidak ada sebab baginya atau penyokongnya untuk terlibat dalam perbuatan sedemikian, lapor Astro Awani.
“Sudah ada fitnah, tak boleh dijawab dengan fitnah, itu satu. Kedua, apa alasan untuk kita buat kerja itu. Ada orang kata kerana ancaman, ancaman apa?
“Dia daripada satu parti dari PH (Pakatan Harapan), dan kalau kedudukan saya tu sudah ada perjanjian, PM (Perdana Menteri) sendiri bagi pengakuan secara peribadi, semua parti bagi sokongan – PKR, DAP, Amanah, Bersatu, jadi tak ada masalah bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan pihak tertentu kononnya penyebaran video itu didalangi kem beliau dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk memusnahkan kerjaya politik Menteri Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Astro Awani menukil Encik Anwar sebagai berkata, kesemua empat parti di bawah Pakatan Harapan bersetuju dan menyokongnya sebagai perdana menteri yang seterusnya.
Malah, tegasnya perjanjian berhubung kedudukannya itu telah lama dibuat dan tiada sebab untuknya berasa terancam dengan mana-mana individu.
Ditanya sama ada senario itu akan menggugat kepercayaan anggota dalam parti, Encik Anwar berkata beliau percaya ia tidak akan berlaku.
Selain itu, ditanya mengenai kenyataan daripada Kumpulan Otai Reformis bahawa Dr Mahathir Mohamad perlu memberi tarikh tertentu bagi menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Encik Anwar berkata beliau tidak menyokongnya.
Astro Awani melaporkan beliau sebagai berkata, mereka bebas untuk menyuarakan apa juga pendapat namun ia urusan Perdana Menteri dan Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Port Dickson pada Sabtu malam (15 Jun) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.