Anwar sambut baik keputusan BN tidak tanding di Pilihan Raya Kecil Port Dickson
Ketua Umum PKR Encik Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentangnya.
Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Encik Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentangnya.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih perlu menghadapi saingan daripada calon lain termasuk calon bebas pada pilihan raya yang akan diadakan pada 13 Oktober.
“Saya sambut baik siapa tidak bertanding, saya menyambut baik pertandingan, tetapi saya lebih gembira jika tiada pertandingan, jika UMNO tidak bertanding, sudah tentulah saya harus berdepan calon-calon bebas,” katanya kepada para wartawan selepas menyampaikan syarahan pada program Syarahan Negarawan 2018 hari ini (25 Sep).
Semalam (24 Sep), pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan BN memboikot PRK itu dan tidak akan meletakkan calon kerana menganggap kerusi Parlimen itu dikosongkan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik seseorang.
Sementara itu, ditanya mengenai pihak yang mempertikainya sebagai calon di kerusi itu, Encik Anwar berkata mereka berhak menyuarakan pandangan dan kritikan terhadapnya.
“Antara isu yang dibangkitkan adalah kerana saya ini ‘agak’ Melayu dan Islam, jadi itu saya cuba jawab, tapi mereka ada hak untuk kemukakan pandangan atau kritikan,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang bersedia untuk mengendalikan pemilihan PKR jika diperlukan, Encik Anwar berkata ia tidak mudah untuk dilaksanakan memandangkan proses pemilihan itu sudah berjalan.
Katanya, sebagai badan pemantau pilihan raya, Bersih dilihat memang berkesan menjalankan fungsinya, namun agak sukar bagi proses pemilihan PKR yang perlu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Beliau turut mengulangi amaran kepada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan itu, terutama mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan untuk tidak membuat tawaran projek kepada anggota parti bagi meraih undi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.