Skip to main content

Dunia

Anwar presiden baru PKR, Azmin timbalannya

Anwar Ibrahim hari ini (18 Nov) secara rasmi diisytiharkan sebagai Presiden PKR, parti yang terhasil daripada gerakan reformasi 1998 bagi menuntut keadilan untuk dirinya ketika itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar presiden baru PKR, Azmin timbalannya

Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 18 Nov 2018 07:15PM Dikemas Kini : 18 Nov 2018 07:17PM

SHAH ALAM: Anwar Ibrahim hari ini (18 Nov) secara rasmi diisytiharkan sebagai Presiden PKR, parti yang terhasil daripada gerakan reformasi 1998 bagi menuntut keadilan untuk dirinya ketika itu.

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan nombor dua parti selepas menewaskan pesaingnya Encik Mohd Rafizi Ramli.

Bagi jawatan empat naib presiden parti yang dipertandingkan, mereka yang memenangi jawatan berkenaan ialah Cik Nurul Izzah Anwar, Cik Zuraida Kamaruddin, Dr A. Xavier Jayakumar dan Encik Tian Chua.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Rashid Din pada Kongres Nasional ke-13 PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Encik Anwar yang sebelum ini Ketua Umum PKR, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR untuk tempoh 2018-2021 dalam pemilihan parti yang dilakukan secara berperingkat sejak Julai lalu.

Anggota Parlimen Port Dickson itu mengambil alih jawatan nombor satu parti daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sudah menyandang jawatan tersebut sejak 1999 dan tidak mempertahankannya buat kali ini.

Pada Jumaat (16 Nov), Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha diumumkan sebagai Ketua Wanita PKR manakala ADUN Sementa Dr Daroyah Alwi sebagai timbalannya.

Bagi sayap Angkatan Muda Keadilan, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir dipilih sebagai ketuanya yang baharu manakala ADUN Gombak Setia Hilman Idham sebagai timbalannya.

Semalam (17 Nov), perwakilan Kongres Nasional PKR ke-13, sebulat suara bersetuju melantik Dr Wan Azizah sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Jawatan Ketua Umum yang dipegang Anwar sebelum ini dimansuhkan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita