Anwar minta maaf janji dalam manifesto terpaksa ditangguh
Ketua Umum PKR Encik Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) terpaksa ditangguhkan buat masa ini sehingga kewangan negara kembali kukuh.

Gambar fail Anwar Ibrahim. (Gambar: Olivia Harris/Reuters)
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Encik Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) terpaksa ditangguhkan buat masa ini sehingga kewangan negara kembali kukuh.
Katanya semasa manifesto berkenaan dibuat, PH tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trilion (S$332 bilion).
“Sekarang ini bila lihat, kenyataannya berbeza, oleh demikian itu… saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang lain kita kena tangguhkan,” katanya ketika satu program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, semalam (16 Sep).
Sementara itu, Encik Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau memberi sokongan 100 peratus kepada pentadbiran kerajaan di bawah Dr Mahathir dan menyeru rakyat supaya memberi peluang kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu untuk memerintah negara.
“Sekarang Dr Mahathir baru jadi perdana menteri selama empat bulan, bagi peluang dia perintah dengan baik, kita sokong beliau. Ruang sekarang ini adalah untuk beri sokongan padu, saya mahu kerajaan PH kuat, dihormati dan boleh laksanakan perubahan. Sekarang giliran Dr Mahathir, kita sokong, saya beri beliau sokongan 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada hadirin yang mahu mengetahui wawasannya sebagai bakal perdana menteri kelapan negara.
Mengulas mengenai dasar kerajaan terhadap negeri-negeri pembangkang, katanya dasar kerajaan PH adalah tidak meminggirkan mana-mana daerah dalam negara.
Berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (SOSMA) 2012, Encik Anwar berkata PH berjanji akan menghapuskan undang-undang ‘draconian’ atau undang-undang yang menindas.
“Saya alami derita (semasa dipenjarakan), untuk menyedarkan dan menginsafkan diri saya supaya dapat rasa derita orang lain, sebab itu bila saya diseksa, saya lihat SOSMA, saya tak setuju bentuk undang-undang yang ada sekarang. Kedua saya tak setuju pendakwaan dan hukuman terlalu keras pada kesalahan kecil yang tak setimpal,” katanya.
Encik Anwar berkata beliau secara peribadi memaafkan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam hal yang melibatkan mereka berdua tetapi dalam hal wang negara dan kepentingan rakyat, ia tertakluk kepada proses yang ada.
“Dari segi peribadi saya maafkannya walaupun beliau sumbat saya masuk penjara… dua minggu pertama saya tidur atas simen. Tapi soal wang negara, soal hak rakyat tak mungkin saya (dapat) maafkan. Kena ikut proses lah, kalau terbukti beliau bersalah nasiblah, apa juga yang anda ambil daripada orang awam, anda bertanggungjawab,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.