Anwar minta Azmin jangan buat spekulasi tentang dalang video seks
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim memberitahu timbalannya Mohamed Azmin Ali pada Ahad (17 Jun) agar tidak membuat spekulasi kononnya terdapat gunting dalam selimut dalam parti itu yang cuba menjatuhkannya sebelum siasatan berhubung isu video seks selesai.
(Gambar fail: BERNAMA)
KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim memberitahu timbalannya Mohamed Azmin Ali pada Ahad (17 Jun) agar tidak membuat spekulasi kononnya terdapat gunting dalam selimut dalam parti itu yang cuba menjatuhkannya sebelum siasatan berhubung isu video seks selesai.
Menurut Encik Anwar, Encik Azmin boleh membuat dakwaan itu sekiranya beliau mempunyai fakta atau bukti yang menyokongnya.
Bagaimanapun Encik Anwar akur "terdapat tangan-tangan tersembunyi" di sebalik video seks yang dikatakan menunjukkan Encik Azmin bersama ketua belia PKR Santubong Encik Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Malaysian Insight melaporkan Presiden PKR itu sebagai berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri acara rumah terbuka Gawai Raya PKR Sarawak di Kuching pada Ahad malam.
Menurut Malaysian Insight, Encik Azmin sebelum ini berkata jawatankuasa disiplin parti patut mengadakan siasatan tentang bagaimana pengirim klip video itu mempunyai nombor telefon semua pemimpin parti dan pejawat rendah.
Namun, Encik Anwar pula berkata parti perlu beroperasi seperti biasa dan biarkan pihak polis selesaikan siasatan.
"Jika anda tidak puas hati dan ingin parti membuka siasatan (sendiri), saya tidak yakin kita mempunyai keupayaan melakukan siasatan lebih mendalam daripada pihak polis.
"Ketua polis sendiri memberi jaminan ia akan dilakukan secara profesional," tambah presiden PKR itu seperti dinukil Malaysian Insight.
Encik Anwar juga menolak dakwaan video tersebut akan mencetuskan krisis dalam kalangan parti.
"Tidak mungkin. Barisan pemimpin kami adalah matang.
"Kita pernah melalui perkara sama beberapa kali sebelum ini," kata Encik Anwar, merujuk kepada dakwaan liwat yang sebelum ini menyebabkannya masuk penjara.
Kes liwat pertamanya pada 1998 menyebabkan beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Hukuman itu dimansuhkan pada 2004 namun beliau didakwa lagi dalam satu kes liwat berasingan pada 2008.
Beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara sebelum mendapat pengampunan Yang Di-Pertuan Agong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.