Anwar kesal serangan segelintir penyokong PKR ke atas Tian Chua
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim meluahkan kekesalannya terhadap kekecohan yang berlaku di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Ahad (1 Mac) di mana Naib Presiden Tian Chua diserang segelintir penyokong parti.
(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim meluahkan kekesalannya terhadap kekecohan yang berlaku di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Ahad (1 Mac) di mana Naib Presiden Tian Chua diserang segelintir penyokong parti.
"Saya amat kesal bila di pejabat Keadilan ada penyokong hilang pertimbangan dan menyerang orang.
"Kalau benar penyokong tegar mesti ada akhlak dan kawal disiplin. Jangan caci maki dan jangan fitnah kerana ia bertentangan prinsip akhlak," katanya dalam Majlis Zikir, Selawat Nuril, di kediamannya, pada Ahad (1 Mac).
Encik Anwar berkata penyokong tidak berhak untuk bertindak sedemikian meskipun segelintir pemimpin parti itu mempunyai pendapat berbeza.
Encik Anwar turut menjelaskan beliau tiada pilihan tetapi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan lembaga disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.
Petang semalam, puluhan penyokong parti yang mengamuk, menghambur kata-kata kesat termasuk 'anjing' dan 'pengkhianat' terhadap Encik Tian Chua selain membaling botol air dan menamparnya ketika beliau hendak memasuki kenderaan.
Turut dihambur dengan kata-kata kesat ialah bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.