Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar kata beliau bersikap terbuka jika PM M'sia Mahathir ingin kekal dalam Kabinet

 Encik Anwar Ibrahim pada Khamis (20 Feb) berkata beliau bersikap terbuka jika Dr Mahathir Mohamad ingin kekal dalam Kabinet meskipun selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar kata beliau bersikap terbuka jika PM M'sia Mahathir ingin kekal dalam Kabinet

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Feb 2020 07:44AM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 07:46AM

KUALA LUMPUR: Encik Anwar Ibrahim pada Khamis (20 Feb) berkata beliau bersikap terbuka jika Dr Mahathir Mohamad ingin kekal dalam Kabinet meskipun selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata ini akan membolehkan Dr Mahathir terus menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

“Saya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan, bagaimanapun saya terbuka kepada idea tersebut kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada negara berdasarkan pengalaman beliau yang begitu luas.

“Ia juga akan membantu dari segi mendapatkan peralihan kuasa yang lebih aman dan pada masa yang sama, menggerakkan ekonomi negara ke hadapan,” katanya kepada pemberita di luar Simposium ‘The Construct of a Nation: As I See It’ anjuran Universiti HELP.

Beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menganggotai Kabinet sebelum peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Encik Anwar berkata sama ada beliau mahupun Dr Mahathir tidak seharusnya diberi tekanan berhubung isu peralihan kuasa.

Beliau berkata negara sepatutnya menumpukan kepada isu lain seperti situasi ekonomi atau penularan jangkitan COVID-19 berbanding isu peralihan kuasa.

Ditanya sama ada beliau akan meminta tarikh yang tepat bagi penyerahan pucuk kepimpinan negara, Encik Anwar berkata: "Tidak, kami akan mengadakan perbincangan mengenai tarikh itu.

“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa ia akan berlaku selepas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), jadi kami akan menyelesaikan perkara ini dan saya rasa sesiapa pun tidak patut diberi tekanan,” katanya.

Encik Anwar menegaskan Dr Mahathir harus diberi kebebasan untuk memerintah dan berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan