Anwar: Itu bukan suara saya
Anwar Ibrahim menafikan tiga rakaman audio yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali adalah suaranya
Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
KUALA LUMPUR: Penasihat PKR, Anwar Ibrahim menafikan tiga rakaman audio yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang juga Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali adalah suaranya.
Menurut laporan Malaysiakini, Encik Anwar berkata sebagai Ketua Umum PKR, beliau bukan seseorang yang menggunakan bahasa kesat, seperti percakapan dalam rakaman itu.
"Saya tak guna bahasa kesat. Garang-garang saya pun, istilah 'barua' (saya) tak pernah pakai," kata beliau ketika ditemui pihak media dalam program ceramah di Bandar Puteri, Selangor, malam semalam (2 Ogos).
Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Anwar berkata rakaman tersebut mungkin sebahagian 'permainan politik" menjelang pemilihan PKR tak lama lagi.
"Ia tidak sihat...mereka sepatutnya lawan saya secara terbuka," katanya.
Semalam, tiga rakaman pendek - kurang 10 saat - yang didakwa suara beliau tersebar di WhatsApp.
Menurut Malaysiakini, dalam rakaman tersebut, suara mirip Encik Anwar menyifatkan Azmin sebagai "barua Mahathir".
Suara berkenaan juga berkata dia menyuruh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melawan Encik Azmin dalam pemilihan PKR, serta mengkritik Dr Mahathir atas pelantikannya sebagai pengerusi Khazanah Nasional dan membangkitkan semula skandal pertukaran wang asing (forex) pada 1990-an.
Mengulas lanjut, Encik Anwar berkata beliau tidak memberi sebarang ucapan selepas pengumuman Khazanah kecuali ketika berkempen untuk PRK Sungai Kandis.
Ketika ditanya sama ada rakaman itu bertujuan merosakkan hubungan dalam HARAPAN, beliau berkata mereka tidak terlalu bodoh untuk mudah mempercayai rakaman itu.
Menurut laporan Malaysiakini, ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan skandal Forex Encik Anwar berkata bahawa Dr Mahathir tidak memberi sebarang arahan kepada Bank Negara untuk terbabit dalam pasaran tukaran wang asing.
Rakaman suara tersebut muncul di saat spekulasi Encik Azmin mungkin bertanding jawatan presiden PKR, serta dakwaan cubaan Dr Mahathir dan lingkarannya untuk memacu kemajuan politik Encik Anwar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.