Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim usul amalkan 3 teras penting bagi kebangkitan Harimau Asia

Anggota Parlimen Port Dickson Encik Anwar Ibrahim berkata keyakinan, kerangka pemikiran dan tindakan amal adalah tiga teras utama yang perlu dilaksanakan untuk Malaysia kembali bangkit dan memegang semula gelaran Harimau Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar Ibrahim usul amalkan 3 teras penting bagi kebangkitan Harimau Asia

Gambar fail Anuwar Ibrahim. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 02 Apr 2019 08:46AM Dikemas Kini : 02 Apr 2019 08:49AM

SHAH ALAM: Anggota Parlimen Port Dickson Encik Anwar Ibrahim berkata keyakinan, kerangka pemikiran dan tindakan amal adalah tiga teras utama yang perlu dilaksanakan untuk Malaysia kembali bangkit dan memegang semula gelaran Harimau Asia.

Beliau berkata kebangkitan dan pembaharuan (renaissance) negara tidak akan berlaku dengan sendirinya, sekiranya kepimpinan kini dan masa akan datang tidak mempunyai kesedaran dalaman atau akidah yang tinggi.

"Kalau mahu menjadi Harimau Asia, ia tentunya berbekalkan kepada disiplin, nilai dan sikap serta kekuatan, keyakinan dan juga tindakan,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam (1 Apr).

Katanya, kepimpinan kerajaan sekarang yang diketuai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berlandaskan agenda perubahan untuk meninggalkan sistem yang bobrok (rosak), menolak rasuah dan memastikan rakyat mendapat pembelaan, bukan sekadar slogan retorik.

"Rakyat, mahupun (bangsa) Melayu, Bumiputera, bahkan rakyat seluruhnya, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain tidak mungkin dapat pembelaan kalau pimpinannya dan generasi muda yang harus menjadi kekuatan asasnya tidak mempunyai kesedaran dalaman," kata Encik Anwar, yang juga Presiden PKR.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Encik Osman Sapian dan Naib Canselor UiTM Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Encik Anwar berkata, keperluan mempunyai kerangka pemikiran atau idea pendorong yang menjadi konsep dan dasar pembinaan negara amat penting kerana sekiranya tidak mengamalkannya, seseorang itu akan mudah terpesong atau dibeli dengan wang dan kedudukan.

Beliau berkata, kerangka idea tersebut bakal menentukan dasar yang akan dilaksanakan serta menggambarkan keprihatinan barisan kepimpinan kini dan masa hadapan.

"(Barisan kepimpinan) perlu ada keprihatinan terhadap orang yang derita dan miskin, atau tersisih daripada asas pembangunan. Kalau tidak ada (keprihatinan), maka, kita ini hanya akan menjadi 'economic animal' tanpa akhlak dan moral," katanya.

Menurut Encik Anwar, sekiranya golongan mahasiswa ingin perubahan dan pembangunan berlaku di negara ini, mereka perlu memahami masalah yang berlaku di peringkat akar umbi dan melakukan tindakan secara terus dan bukan berdasarkan ilmu dalam buku dan wacana sahaja. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan