Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim tolak jadi PM; enggan bersubahat dengan perasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar Ibrahim tolak jadi PM; enggan bersubahat dengan perasuah

Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Jul 2022 02:40PM Dikemas Kini : 16 Jul 2022 02:40PM
SHAH ALAM: Anwar Ibrahim berkata beliau pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri pada 2020, namun menolaknya kerana tidak mahu bersubahat dengan perasuah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendedahkan, beliau sudah pun menerima peluang untuk menjadi perdana menteri apabila mendapat sokongan majoriti menerusi akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pembangkang dan wakil rakyat UMNO, seperti dinukil daripada BH Online.

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa menolak selepas diminta memberi jaminan untuk menutup kes mahkamah yang membabitkan dua pemimpin dalam UMNO.

Walaupun tidak menamakan kedua-dua pemimpin itu, kenyataan Encik Anwar yang mengaitkan mereka dengan kluster mahkamah jelas merujuk Najib Razak dan Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

"Saya tidak suarakan perkara ini kerana membabitkan Yang di-Pertuan Agong, tetapi tandatangan pembangkang saya ucap terima kasih 'solid' (kukuh) 105 (Ahli Parlimen), kemudian daripada UMNO 15 (orang).

"Kata (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke tolak dua, kluster mahkamah terang-terang itu tidak boleh diterima jadi (kita ada) 13 (Ahli Parlimen UMNO), kita dapat majoriti," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL di Shah Alam pada Sabtu (16 Jul).

Encik Anwar pada September 2020, melalui sidang media mendakwa mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Beliau ketika itu mendakwa memiliki dokumen sahih dalam bentuk SD dan pengesahan ketua parti politik mengenai majoriti kukuh serta meyakinkan daripada Ahli Parlimen yang menyokongnya, namun tidak mengemukakan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya, lapor BH Online.

Dalam pada itu, Encik Anwar mengakui rela sekiranya ahli dan pemimpin PKR memilih Presiden lain untuk menerajui parti sekiranya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang gagal.

Sebelum ini, timbul pertikaian mengenai status Encik Anwar yang dianggap sebagai liabiliti kepada parti susulan prestasi buruk PKR dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung pasca PRU-14.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Abdullah, mempertahankan Encik Anwar dengan mengingatkan semua ahli PKR melihat kembali pencapaian parti dalam PRU yang sekali gus melambangkan perjuangan pemimpin nombor satu parti itu.

Sementara itu, Encik Anwar melalui ucapan sama membidas ahli politik yang mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu, namun pada masa sama menyelewengkan berbilion ringgit dana awam.

Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Ahli Parlimen Port Dickson itu membandingkan mereka dengan bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang baru-baru ini terpaksa lari meninggalkan negara.

Beliau menegaskan, individu seperti itu akan sentiasa ada dalam politik termasuklah di negara ini, lapor BH Online.

"Apabila terdesak, mereka kata demi kepentingan negara, demi Melayu dan Islam. Padahal langkah-langkah diambil semuanya langgar tata susila dan adab Islam.

"Mana ada adab Islam izinkan khazanah negara berbilion ringgit diambil untuk kepentingan individu. Sebab itu ada pandangan (mengatakan) 'patriotisme is the last refuge for the scoundrel' (patriotisme menjadi perisai terakhir ara penyangak)," kata beliau.
Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa