Skip to main content

Dunia

Anwar Ibrahim tegas tidak pernah guna kuasa sebagai PM untuk khianati bangsa Melayu, agama Islam

Anggaran Waktu Membaca:
KEPALA BATAS: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah menggunakan kuasanya sebagai PM negara itu untuk mengkhianati bangsa Melayu dan agama Islam.

Katanya beliau juga tidak pernah memandang rendah orang Melayu dan agama Islam hanya kerana menyokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. 

"Lapan bulan saya tanya di Parlimen, apa saya buat yang (dianggap) mengkhianati Melayu dan Islam? Adakah sebab saya sokong Ketua Menteri Pulau Pinang? Saya tak khianat tapi saya terima kenyataan politik dan realiti. Saya mahu negara ini aman.

"Di semua negeri lain, orang Melayu dan Islam yang pegang jawatan utama seperti Yang di-Pertuan Agong, Menteri Kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Gabenor Bank Negara," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Program Seminar Malaysia MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Ahad (16 Jul).

Encik Anwar turut menasihati orang ramai agar tidak mengizinkan permusuhan kaum berlaku sehingga menyebabkan keharmonian dan keamanan negara itu runtuh.

"Saya lalui pasang surut derita yang panjang, kalau rasa apa yang saya lakukan tidak cukup, lama-kelamaan saya akan perbaiki. Bukannya saya kata Anwar jadi Perdana Menteri, semuanya sempurna... tidak, banyak masalah.

"Tapi saya tidak bersedia untuk bertolak ansur bagi mengkhianati amanah, mencuri wang negara dan mengizinkan rasuah berterusan di negara kita," katanya.

Encik Anwar juga berkata satu perkara yang tidak boleh dipertikai mengenai pentadbirannya ialah beliau tidak menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk mencuri duit negara, menzalimi rakyat atau memperkecil-kecilkan bangsa Melayu dan agama Islam.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita