Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim sasar tawan Tambun dalam PRU15

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim menjelaskan pemindahannya ke kerusi Parlimen baru, berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini, dapat meneruskan rentak kemenangan.  

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata pemindahan ke kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan selepas kajian dilakukan di kawasan tersebut.

"Saya telah meninggalkan suatu gelanggang yang sudah kukuh. Parlimen Permatang Pauh bagi saya sudah kukuh dan Parlimen Port Dickson dalam beberapa tahun ini, saya telah berikan perhatian sangat banyak.

"Jadi saya hendak kukuhkan dan harus tawan kawasan baru untuk memenangi dan menawan negara," katanya pada Sabtu (29 Okt) dalam rakaman audio yang dikongsikan kepada media menerusi kumpulan WhatsApp.

Semasa pengumuman calon PKR pada Jumaat (28 Okt), Encik Anwar, yang juga calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), disahkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan dijangka bertembung penyandang kerusi itu, Ahmad Faizal Azumu, yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Seramai 72 calon ditampilkan PKR untuk bertanding kerusi Parlimen dalam PRU15.

Malah, di majlis pengumuman calon itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Encik Anwar sedang mendahului di Parlimen Tambun, berdasarkan tinjauan dan semakan terperinci yang dilaksanakan parti itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden PKR Tian Chua pada Sabtu (29 Okt), yang memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti, Encik Anwar, yang juga Presiden PH, menegaskan tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon PRU15.

Beliau berkata muka-muka baru termasuk golongan generasi baru perlu diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

“Saya ingin tegaskan kepada Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya. Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya.

Menurut laporan media, Encik Tian Chua memberitahu terdapat ramai dalam kalangan ahli parti itu kecewa dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon untuk bertanding di beberapa kerusi dalam pilihan raya kali ini.

Antara bekas Ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan