Anwar Ibrahim saran perbelanjaan kesihatan awam ditambah
Peruntukan bagi perbelanjaan kesihatan awam dan juga buat petugas yang berkaitan, perlu ditingkatkan pada jumlah yang memadai dalam menangani krisis COVID-19 yang berpanjangan.

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi perbelanjaan kesihatan awam dan juga buat petugas yang berkaitan, perlu ditingkatkan pada jumlah yang memadai dalam menangani krisis COVID-19 yang berpanjangan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan jurucakap kesihatan parti itu Dr Lee Boon Chye dalam kenyataan bersama hari ini berkata mereka mengesyorkan peningkatan 20 peratus terhadap perbelanjaan mengurus dan tahap petugas untuk kesihatan awam dalam tempoh selama dua tahun akan datang.
"Peruntukan semasa bagi kesihatan awam dalam belanjawan 2020 adalah RM 5.66 bilion (S$1.86 bilion) daripada keseluruhan jumlah bajet mengurus Kementerian Kesihatan (MOH) RM 27.9 bilion (S$9.15 bilion), manakala bagi sumber manusia, 78,266 petugas adalah dalam kesihatan awam daripada jumlah keseluruhan 267,578 petugas kementerian kesihatan," menurut mereka.
Encik Anwar dan Dr Lee berkata walaupun terdapat peningkatan dalam penggunaan alat pengesan kontak secara digital ketika ini, namun ia tidak dapat menandingi pasukan khusus dalam mengesan kontak.
Pasukan khusus itu juga boleh berperanan dalam membekalkan orang ramai dan juga para peniaga dengan nasihat yang sesuai, menurut mereka.
Mereka turut menyarankan agar kerajaan melihat peruntukan kepada kesihatan awam sebagai satu pelaburan, dan bukannya kos, kerana aspek ini boleh membantu dalam menangani cabaran kesihatan dan juga ekonomi yang dihadapi negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.