Anwar Ibrahim rasa dikhianati rakan Pakatan Harapan; spekulasi penubuhan kerajaan baru bertiup kencang
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada Ahad (23 Feb) berkata beliau dikhianati oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Gambar yang dimuat naik oleh Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff di akaun Twitternya menunjukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu majlis keagamaan di kediamannya di Bukit Segambut pada 23 Feb 2020. (Gambar: @yusmadi/Twitter)
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada Ahad (23 Feb) berkata beliau dikhianati oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH).
Ini timbul di tengah-tengah spekulasi bahawa satu pakatan baru akan dibentuk, terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan parti-parti lain.
Dalam satu siaran langsung di Facebook semasa sesi bacaan doa di kediamannya, Encik Anwar berkata meskipun tiada pengumuman rasmi dibuat pada Ahad, beliau diberitahu pengkhianatan itu berlaku.
Encik Anwar mengaku ada percubaan untuk memecahbelahkan PH agar sebuah kerajaan baru boleh dibentuk.
"Ia melibatkan bekas rakan-rakan kami dari Bersatu dan sebuah kumpulan kecil dari PKR yang mengkhianati kami."
"Mereka sudah bertemu dengan Agong pada lewat petang tadi tetapi tiada pengumuman dibuat," ujar beliau.
Sebelum ini, pada awal acara, Encik Anwar menyuarakan rasa terkejut mengenai perkembangan itu yang dikatakannya sebagai satu pengkhianatan kerana janji sudahpun dibuat.
"Nampaknya ada perubahan, mungkin berlaku dengan pantas. Mungkin esok. Walaupun tidak ada pengumuman malam ini tetapi daripada maklumat yang saya terima ada usaha seumpama itu."
Anwar dijadualkan bertemu dengan Agong pada Isnin (24 Feb) untuk memberikan "kemas kini biasa" mengenai politik, kata seorang pembantunya seperti dipetik oleh Malay Mail, sambil menambah bahawa mesyuarat itu sudahpun dijadualkan beberapa ketika dahulu.
Sementara itu, seorang pembantu kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata bahawa "tiada pengumuman" akan dibuat pada Ahad.
"Tiada pengumuman. Tiada sidang media malam ini, " kata pembantu itu, seperti ditukil Malay Mail, sebagai respons kepada pertanyaan mengenai pemimpin parti politik yang bertemu dengan Agong pada awal malam tersebut.
Pada Ahad malam, terdapat perhimpunan antara anggota Parlimen dari kedua-dua belah jurang politik, termasuk Bersatu, UMNO, PAS dan sebilangan anggota PKR yang diketuai oleh Encik Azmin Ali di Sheraton Hotel, Petaling Jaya.
Gabungan Parti Sarawak, Parti Warisan Sabah dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) turut hadir.
Tokoh-tokoh politik kanan yang hadir termasuk presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Encik Azmin, presiden PAS Abdul Hadi Awang, presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan presiden MCA Wee Ka Siong.
Lebih 130 ahli parlimen dilaporkan berada di hotel itu, menurut Star. Terdapat 222 kerusi di Parlimen.
Menurut laporan-laporan media Malaysia, pemimpin tertinggi enam parti sudahpun bertemu dengan Agong di Istana Negara pada lewat petang Ahad.
Pertemuan itu diadakan menyusuli Majlis Presiden PH pada Jumaat malam (21 Feb) apabila Dr Mahathir berkata "tidak ada tarikh" ditetapkan untuk peralihan kepimpinan kepada penggantinya, Encik Anwar - satu perjanjian dalam kalangan parti-parti PH ketika mereka bekerjasama untuk memenangi pilihan raya Mei 2018.
Apabila ditanya sama ada ia juga dipersetujui bahawa Encik Anwar akan menjadi perdana menteri seterusnya, Dr Mahathir berkata: "Itu (isu) tidak timbul. Kedudukannya adalah untuk saya membuat keputusan selepas APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik). "
Awal bulan ini, Dr Mahathir menolak dakwaan dan spekulasi mengenai percubaan untuk menjadikan dirinya sebagai perdana menteri sehingga ke hujung penggal ini.
Dr Mahathir berkata beliau akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya selepas sidang kemuncak APEC pada bulan November.
Menggambarkan dirinya sebagai "perdana menteri sementara", Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau akan menghormati perjanjian itu untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi tetap tidak menetapkan bila beliau akan melakukan demikian.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang juga presiden Parti Amanah Negara berkata, kerajaan PH akan terus berfungsi seperti biasa.
"Sesiapa sahaja boleh membuat pelbagai spekulasi. Dr Mahathir bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang luar biasa... Tidak perlu cemas. PH akan terus berfungsi, " ujarnya seperti dipetik oleh Malaysian Insight.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.