Anwar Ibrahim isytihar harta RM10.7 juta kepada SPRM
Anggota Parlimen Port Dickson Encik Anwar Ibrahim mengisytiharkan hartanya bernilai kira-kira RM10.7 juta (S$3.6 juta) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gambar fail Anuwar Ibrahim. (Gambar: Edgar Su/Reuters)
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Port Dickson Encik Anwar Ibrahim mengisytiharkan hartanya bernilai kira-kira RM10.7 juta (S$3.6 juta) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan setiausaha sulitnya Encik Shukri Saad, jumlah itu termasuk anggaran nilai semasa RM9.5 juta (S$3.16 juta) bagi rumah milik Encik Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat di Bukit Segambut.
Kediaman itu pada mulanya dibeli pada harga RM4.5 juta (S$1.5 juta) hasil daripada jualan rumah di Bukit Damansara pada 2005, menurut kenyataan itu.
Turut diisytiharkan adalah sebidang tanah di Permatang Habib, Mukim Penor, Kuantan, Pahang yang dibeli pada 1974 dengan harga RM7,000 (S$2,300), dan tanah itu kini dianggarkan bernilai RM420,000 (S$140,000).
Menurut kenyataan itu, harta selebihnya adalah daripada akaun-akaun pelaburan dan wang simpanan berjumlah RM828,658.83 (S$276,000).
"Dengan ini dimuktamadkan bahawa jumlah harta milik Encik Anwar Ibrahim adalah bernilai RM10,748,658.83 (S$3,600,000)," menurutnya.
Kenyataan itu menarik perhatian bahawa Encik Anwar sudah menghantar perisytiharan harta kepada SPRM sebagaimana diminta kerajaan bagi semua anggota kabinet dan Anggota Parlimen Pakatan Harapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.