Anwar Ibrahim gesa dihormati keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mahu setiap anggotanya serta pihak lain yang menyokong Pakatan Harapan (PH) supaya menghormati keputusan mengenai peralihan kuasa yang diputuskan Majlis Presiden PH pada Jumaat (21 Feb).
(Gambar: BERNAMA)
KAJANG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mahu setiap anggotanya serta pihak lain yang menyokong Pakatan Harapan (PH) supaya menghormati keputusan mengenai peralihan kuasa yang diputuskan Majlis Presiden PH pada Jumaat (21 Feb).
Encik Anwar berkata keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah secara konsensus dengan turut melibatkan keputusan beliau dan PKR.
“Oleh demikian, Parti Keadilan (PKR) secara keseluruhannya dan rakan-rakan lain harus hormati keputusan tersebut ...saya boleh arah parti (PKR), yang lain itu saya boleh gesa mereka supaya hormati keputusan kerana tumpuan kita adalah tentang ekonomi dan kita menghadapi kesan daripada penularan koronavirus (COVID-19).
“Jadi saya merayu dan gesa kawan-kawan hormati keputusan ini… dari segi kepimpinan Keadilan saya tidak akan benarkan umpamanya mana-mana serangan ataupun kecaman terhadap keputusan ini,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu di sidang media selepas Majlis Himpunan Enam Dekad Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), hari ini (22 Feb).
Beliau mengulas dakwaan ada pihak tertentu yang mahu turun ke jalanan bagi mendesak peralihan kuasa dipercepatkan pada Mei depan.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya, berkata peralihan kuasa akan dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) namun tiada tarikh ditetapkan untuk beliau menyerahkan jawatan nombor satu negara kepada penggantinya.
"Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Dr Mahathir berkata ia adalah keputusan sebulat suara mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir selaku Pengerusi PH berlangsung selama tiga jam dihadiri pemimpin-pemimpin PH termasuk Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Ditanya sama ada mesyuarat itu juga bersetuju supaya Anwar menjadi perdana menteri kelapan, Dr Mahathir berkata: “Perkara itu tidak timbul. Jawatan itu terserah kepada saya untuk membuat keputusan selepas APEC.”
Encik Anwar yang duduk sebelah Dr Mahathir semasa sidang media itu berkata: “Saya sendiri cadang supaya Dr Mahathir diberikan ruang mentadbir dan kemudian bila (masa peralihan kuasa)… dia tetapkan masa yang sesuai, itu barulah (berlaku), dan sementara itu saya kenalah sabar.
"Pendirian kita jelas, tidak ada keraguan, komitmen kita untuk memastikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dengan dokongan yang penuh. Ini tidak dipersoal,” kata Encik Anwar.
LAPORAN BERKAITAN: Tiada tarikh ditetapkan peralihan kuasa, kata PM Mahathir
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.