Anwar Ibrahim bertemu Dr Mahathir
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Jumaat (28 Feb).

(Gambar: BERNAMA)
PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Jumaat (28 Feb).
Dipercayai, ini menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin berkenaan selepas kerajaan PH tumbang dan Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri sekali gus mencetuskan krisis politik.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan intipati sebenar mesyuarat tersebut kerana Encik Anwar enggan mengulas lanjut.
"Jumpa, jumpa, semalam," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara ringkas kepada media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu.
Beliau ditemui sebaik tiba bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi menghadiri mesyuarat, dipercayai bersama Ahli Parlimen PH di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini (29 Feb).
Turut kelihatan di hotel berkenaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Ahli Parlimen Klang, Dr Xavier Jeyakumar (Naib Presiden PKR), Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Ramli (Setiausaha Agung Amanah) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR).
Dalam perkembangan terkini, Dr Mahathir pagi ini mengeluarkan kenyataan mengejut mengatakan bahawa beliau yakin mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat dan bersedia untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Dalam kenyataan itu, Dr Mahathir juga berkata beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PH pagi tadi.
Dalam pada itu, PH juga turut mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk menyandang jawatan perdana menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.