Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar Ibrahim angkat sumpah Perdana Menteri ke-10 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar Ibrahim angkat sumpah Perdana Menteri ke-10 M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 05:41PM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 07:32PM
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim pada Khamis (24 Nov) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi Khamis bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Encik Anwar, 75 tahun, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sejurus mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Tambun itu menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.

Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Peguam Negara Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jen Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Pemimpin parti politik yang hadir ialah pemimpin parti komponen PH iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan, serta anak-anak dan menantu Anwar.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU15 pada 19 November menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan