Anwar hanya serah jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat bukan senarai nama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Encik Anwar Ibrahim hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepadanya untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Gambar fail Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Encik Anwar Ibrahim hanya mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepadanya untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini (13 Okt).
Menurut kenyataan Istana Negara, jumlah berkenaan dikemukakan Encik Anwar selepas Seri Paduka berkenan menerima menghadap beliau pada pukul 11.00 pagi tadi.
Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Encik Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dalam kenyataan yang sama bahawa Encik Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.
"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Encik Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Encik Anwar Ibrahim supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Awal dari itu, Encik Anwar dalam sidang media khas beberapa jam selepas sesi menghadap berkenaan, memaklumkan bahawa beliau sudah mempersembahkan dokumen 'sahih’ sokongan lebih 120 Ahli Parlimen terhadapnya kepada Sultan Abdullah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.