Anwar dijangka menghadap Agong Selasa depan
Ketua pembangkang Encik Anwar Ibrahim hari ini (8 Okt) berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenankan untuk beliau menghadapnya pada Selasa depan (13 Okt).
KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Encik Anwar Ibrahim hari ini (8 Okt) berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenankan untuk beliau menghadapnya pada Selasa depan (13 Okt).
Encik Anwar yang juga Presiden PKR dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen seperti yang dinyatakan sebelum ini, pada majlis menghadap itu.
Katanya beliau bersyukur kepada Allah, kerana Sultan Abdullah sudah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.
“Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Okt 2020, insha-Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan itu, beliau turut berharap rakyat akan terus bertenang serta menghormati peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pada 23 Sep lalu, Encik Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan 'kukuh dan meyakinkan' daripada kalangan Ahli Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Encik Anwar berkata beliau juga sudah mendapat perkenan untuk menghadap Agong tetapi ditangguhkan berikutan beliau mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.