Skip to main content

Dunia

Anwar beri mandat penuh Saifuddin Nasution laksana tugas Timbalan Presiden PKR

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar beri mandat penuh Saifuddin Nasution laksana tugas Timbalan Presiden PKR

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada 16 Ogos 2026 memberikan mandat penuh kepada Naib Presiden Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden PKR. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Aug 2026 09:03PM
  • Anwar Ibrahim memberi mandat kepada Saifuddin Nasution untuk memangku tugas Timbalan Presiden PKR kerana Nurul Izzah bercuti sementara waktu.
  • Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, manakala Tengku Zafrul menjadi Penyelaras di Pejabat Perdana Menteri.
  • Aminuddin Harun diminta fokus kepada tugas Naib Presiden dan latihan ahli baharu, walaupun ada desakan penilaian semula kedudukannya di Negeri Sembilan.
  • Anwar menegaskan kekalahan PKR di PRN Negeri Sembilan perlu ditanggung bersama dan menyeru semua pihak memperbaiki prestasi parti.
Dijana oleh AI
MELAKA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada Ahad (16 Ogos) memberikan mandat penuh kepada Naib Presiden Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan.

Beliau berkata walaupun tugas baharu itu dilihat akan membebankan Encik Saifuddin Nasution, langkah berkenaan perlu digalas Menteri Dalam Negeri itu memandangkan penyandang jawatan tersebut, Nurul Izzah Anwar akan bercuti buat sementara waktu.

“Jadi, saya fikir sahabat saya yang lama, yang paling setia, paling saya kenal dan faham (dengan cara kerja saya) agar meneruskan kerja sebagai Timbalan Presiden.

“Saya harap dengan pengumuman ini, seluruh kekuatan Keadilan akan beri seluruh sokongan, kerjasama dan ketaatan kepada beliau,” kata Encik Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada Ahad (16 Ogos).

Dalam pada itu, Encik Anwar mengumumkan seorang lagi Naib Presiden Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, manakala Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penyelaras di Pejabat Perdana Menteri.

Mengulas kedudukan pimpinan di Negeri Sembilan, Encik Anwar meminta Aminuddin Harun untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai Naib Presiden parti serta portfolio latihan bagi memperkasakan ahli-ahli baharu PKR.

Beliau berkata pengalaman luas mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu amat diperlukan dalam mengemudi agenda pengkaderan parti pada pelbagai peringkat.

“Saudara Aminuddin masih diperlukan, pengalaman harus mengajar beliau dan mengajar kita. Saudara (Aminuddin), tumpukan (tugas) sebagai Naib Presiden dan memberikan latihan sebaik mungkin kepada anak-anak kita, itu tugas baharu," kata beliau. 

Encik Anwar berkata beliau akan menjawab sendiri tuntutan enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan yang mendesak penilaian semula kedudukan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan.

Encik Anwar berkata kekalahan PKR semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu tidak wajar disandarkan kepada Encik Aminuddin semata-mata, sebaliknya harus digalas secara bersama.

“Jadi, mari kita terima kenyataan itu untuk baiki kesalahan itu, mudah-mudahan kita boleh tingkat semula (prestasi parti),” kata Encik Anwar.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita