Skip to main content

Dunia

Anwar beri jaminan perkukuh kepimpinan Dr Mahathir

Presiden PKR Anwar Ibrahim membuat penampilan pertama di program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Ahad (26 Ogos) dan mengisytiharkan bahawa ia adalah permulaan untuk kerjasama yang lebih kukuh antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar beri jaminan perkukuh kepimpinan Dr Mahathir

Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 27 Aug 2018 07:50AM Dikemas Kini : 27 Aug 2018 07:52AM

KLANG: Presiden PKR Anwar Ibrahim membuat penampilan pertama di program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Ahad (26 Ogos) dan mengisytiharkan bahawa ia adalah permulaan untuk kerjasama yang lebih kukuh antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Malaysiakini melaporkan, Encik Anwar turut menyentuh berhubung kerjasamanya dengan Pengerusi BERSATU Dr Mahathir Mohamad dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri itu.

"Ini mukadimah penting bagi saya. Program PKR daerah pun saya belum hadir.

"Saya hadir beberapa program PKR negeri tapi saya pilih program pertama (BERSATU) di cabang Klang ini untuk beri mesej.

"Saya ucap terima kasih kepada sahabat BERSATU dan mudah-mudahan tahap kerjasama boleh kita tingkatkan dan jangan lupa kita menang kerana sokongan rakyat," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini di Majlis Sambutan Aidiladha BERSATU di Tapak Kompleks Sukan Pandamaran, Klang yang dianjurkan oleh Ketua Bahagian BERSATU Klang Rais Hussin.

Dalam ucapannya, Encik Anwar juga berkata kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah kehendak rakyat.

"Ini dalam sejarah jarang berlaku. Pertama dia kata, gandingan Anwar dengan Mahathir orang tak boleh fikir boleh berlaku.

"Tetapi kedua-dua kami berpakat kerana kasih dan cinta negara ini," katanya.

Mewakili PKR, Encik Anwar memberi jaminan untuk memastikan kepimpinan Dr Mahathir akan menjadi kukuh dan berkesan agar perdana menteri dapat menerajui agenda awal bagi pembangunan negara tanpa sebarang masalah dan gangguan.

Menurut laporan Malaysiakini lagi, Encik Anwar dalam ucapannya turut menyentuh berhubung rungutan bahawa HARAPAN tidak memenuhi 10 janji 100 hari yang dinyatakan dalam manifestonya.

"Ini bangunkan negara, ada hal kita boleh selesai satu hari, ada yang kita boleh selesai 2,100 hari, ada yang boleh selesai satu tahun atau dua tahun.

"Yang penting, niat dan kesungguhan untuk selesaikan, hentikan rasuah dan penyelewengan. Yang lain, insya-Allah kita ada kekuatan (untuk melaksanakannya)," katanya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita