Anutin Charnvirakul kekal PM Thailand selepas menang undian Parlimen
Anutin Charnvirakul terpilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand selepas memperoleh kemenangan besar dalam undian Parlimen pada Khamis (19 Mac), sekali gus menamatkan kemelut politik berpanjangan di negara berkenaan.
Anutin Charnvirakul di ibu pejabat Parti Bhumjaithai selepas parti itu memenangi pilihan raya umum, di Bangkok, Thailand, pada 12 Februari 2026. (Gambar fail: REUTERS/Chalinee Thirasupa)
Kemenangan pemimpin Parti Bhumjaithai itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar terdekatnya, Natthaphong Ruengpanyawut daripada Parti Rakyat yang berhaluan progresif.
Encik Anutin, 59, mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri Thailand pertama dalam tempoh dua dekad yang berjaya mengekalkan jawatannya menerusi undian semula parlimen selepas memenangi pilihan raya umum bulan lalu.
Dalam ucapannya di Parlimen, Encik Anutin menegaskan kesediaannya menerima cadangan untuk memastikan beliau dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.
“Suara anda semua didengari secara saksama dan saya sedia menerima sebarang cadangan bagi membolehkan saya menjalankan tugas sebagai ketua kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” kata Encik Anutin.
Beliau berkata matlamat utamanya kini adalah untuk segera membentuk kabinet baharu bagi menyelesaikan masalah ekonomi negara yang terbeban dengan hutang isi rumah yang tinggi.
Penganalisis politik berpendapat kejayaan Encik Anutin berpunca daripada keupayaannya mengemudi sokongan nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja tahun lalu, selain kebijaksanaan beliau membentuk pakatan dengan Parti Pheu Thai dan beberapa parti kecil lain.
Gabungan itu kini dijangka menguasai 292 daripada 499 kerusi di Dewan Rakyat, memberikan mandat kukuh kepada beliau untuk menerajui ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.
Pelantikan semula Encik Anutin dilihat sebagai sinar baharu untuk kestabilan politik Thailand yang selama ini sering terganggu oleh campur tangan pihak tentera dan kehakiman.
Kepimpinan beliau kini diuji untuk memacu pemulihan ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan impak peperangan antara Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran yang menjejaskan bekalan tenaga di rantau itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.