Skip to main content

Dunia

Anthropic gagalkan operasi manipulasi pilihan raya sasar pengundi Malaysia

Syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Anthropic menyatakan ia sudah menggagalkan satu operasi manipulasi pilihan raya komersial yang menyasarkan para pengundi terutamanya di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Anthropic gagalkan operasi manipulasi pilihan raya sasar pengundi Malaysia

Laporan risikan ancaman Anthropic yang diterbitkan pada 10 September 2026 memaparkan laman "Malaysia Pulse", yang menurut syarikat AI itu merupakan laman berita palsu yang digunakan dalam operasi manipulasi pilihan raya. (Gambar: Anthropic)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 04:05PM
  • Anthropic, syarikat AI Amerika, membongkar operasi manipulasi pilihan raya yang menyasarkan pengundi Malaysia menggunakan sistem AI dan data pengundi sebenar.
  • Operasi dikaitkan dengan BBS Bilisim Teknolojileri dari Istanbul, melibatkan lebih 1,000 akaun palsu di media sosial X, laman berita palsu "Malaysia Pulse", dan laporan risikan rekaan.
  • Motif utama ialah mempengaruhi isu politik dan sosial sensitif serta menjual khidmat manipulasi sebagai perkhidmatan berbayar, namun tiada bukti operasi berjaya menembusi komuniti sebenar.
  • Anthropic telah menutup akaun terlibat, memetakan operasi lebih luas, dan tidak dapat mengesahkan siapa pelanggan sebenar atau kaitan dengan pilihan raya tertentu di Malaysia.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Syarikat kecerdasan buatan (AI) Amerika Anthropic menyatakan ia sudah menggagalkan satu operasi manipulasi pilihan raya komersial yang menyasarkan para pengundi terutamanya di Malaysia.

Operasi itu melibatkan sekitar 1,000 akaun media sosial palsu, sebuah laman berita palsu dan laporan risikan yang direka-reka.

Menurut laporan risikan ancaman Anthropic yang diterbitkan pada Khamis (10 Sep), model AI Claude miliknya digunakan untuk membangunkan sistem yang mampu membina profil dan menyasarkan pengundi Malaysia berdasarkan kawasan pilihan raya.

Sistem itu menggunakan data banci dan pilihan raya sebenar serta "jutaan rekod pengundi" untuk merangkumi kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia.

Ia direka untuk menyasarkan beberapa isu politik dan sosial paling sensitif di Malaysia, termasuk kaum, agama dan institusi diraja.

Anthropic berkata siasatannya menemukan kaitan jelas antara operasi tersebut dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul.

Syarikat itu didakwa menjual akses kepada platform tersebut sebagai khidmat berbayar untuk menjalankan operasi mempengaruhi orang ramai.

Namun, Anthropic tidak mengenal pasti pihak yang membayar untuk menggunakan platform tersebut bagi operasi di Malaysia atau sama ada ia mempunyai kaitan dengan mana-mana pilihan raya tertentu di negara itu.

Ia juga tidak menyatakan bila operasi tersebut dijalankan atau berapa lama ia berlangsung.

SEKITAR 1,000 AKAUN PALSU DI X

Menurut Anthropic, platform itu mengendalikan lebih 1,000 akaun palsu di platform media sosial X.

Akaun-akaun tersebut dilengkapi mekanisme untuk membuatnya kelihatan seperti akaun sebenar sebelum digunakan dalam operasi mempengaruhi orang ramai.

Antara kaedah yang digunakan ialah memperbaharui kuki dan alamat IP secara berkala dalam usaha mengelak dikesan platform media sosial.

Papan pemuka platform tersebut turut membolehkan penggunanya menentukan jumlah tontonan palsu yang mahu dijana bagi sesuatu sasaran.

Dalam satu kejadian, Anthropic menyatakan ia mengesan permintaan untuk menjana sejuta tontonan palsu bagi akaun Perdana Menteri Malaysia, sebagai sokongan kepada pemimpin itu.

Namun, laporan tersebut tidak mengenal pasti siapa yang membuat permintaan itu dan tidak menemukan sebarang kaitan antara operasi tersebut dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau pejabatnya.

Anthropic turut menegaskan angka penglibatan yang direkodkan oleh sistem itu dilaporkan sendiri oleh pihak yang menjalankan operasi dan tidak dapat disahkan secara bebas.

LAMAN BERITA PALSU, LAPORAN RISIKAN DIREKA-REKA

Operasi tersebut turut mengendalikan laman berita palsu yang dinamakan "Malaysia Pulse".

Menurut Anthropic, AI digunakan untuk mengambil laporan daripada media Malaysia yang sah dan menulisnya semula berulang kali sebelum menerbitkannya menggunakan nama penulis rekaan.

"Malaysia Pulse" turut menerbitkan semula bahan daripada media China dan Russia yang disifatkan Anthropic sebagai sejajar dengan pemerintah, termasuk Xinhua, CGTN, Sputnik/RIA dan TV BRICS.

Rujukan yang mengenal pasti pertubuhan tersebut sebagai sumber sejajar dengan pemerintah kemudian dibuang supaya kandungan itu kelihatan seperti laporan bebas dari Malaysia.

Anthropic turut mengaitkan sebuah saluran YouTube dengan operasi berita palsu tersebut.

Pada masa yang sama, pihak di sebalik operasi itu didakwa menggunakan Claude untuk menghasilkan laporan risikan yang direka-reka bagi menyebarkan tuduhan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.

Anthropic tidak mendedahkan identiti mereka yang menjadi sasaran.

Menurut syarikat itu, sistem AI Claude menolak atau hanya memenuhi sebahagian daripada beberapa permintaan tersebut, termasuk selepas mengesan satu laporan sebagai bahan yang bertujuan melakukan fitnah politik.

TIADA BUKTI OPERASI BERJAYA PENGARUHI KOMUNITI SEBENAR

Meskipun operasi tersebut mempunyai prasarana yang besar dan canggih, Anthropic berkata ia tidak menemukan bukti bahawa kempen itu berjaya menembusi komuniti online sebenar.

Anthropic berkata ia sudah mengenal pasti dan menghapuskan akaun Claude yang terlibat serta menggunakan maklumat daripada akaun tersebut untuk memetakan operasi lebih luas dan menghalang penyalahgunaan selanjutnya.

Syarikat itu turut mendakwa pihak di sebalik operasi tersebut pernah cuba mendapatkan kontrak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Namun, Anthropic menyatakan ia tidak menemukan bukti usaha tersebut berjaya.

CNA sudah menghubungi Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil dan MCMC bagi mendapatkan komen mengenai dapatan Anthropic serta sama ada pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat operasi tersebut.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita