Anthony Loke serah surat letak jawatan kepada PM Anwar
Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
- Anthony Loke mengesahkan beliau menyerahkan surat peletakan jawatan Kabinet kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin, 28 September.
- Namun, selepas berbincang dengan Anwar, Setiausaha Agung DAP itu akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu.
- Peletakan jawatan Loke hanya berkuat kuasa jika Najib Razak dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
- Loke berkata keputusan itu selaras dengan pendirian DAP yang menolak tahanan rumah Najib, manakala penggantinya belum diputuskan.
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Kabinet kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin (28 Sep).
Namun, Setiausaha Agung DAP itu akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu, selepas berbincang dengan Encik Anwar.
Menurut Encik Loke, peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa apabila mantan Perdana Menteri Najib Razak dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2026 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Encik Loke berkata beliau sudah bertemu Encik Anwar pada Isnin untuk menjelaskan sebab di sebalik keputusannya meletakkan jawatan.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri itu memintanya supaya terus menjalankan tugas buat sementara waktu sebelum keputusan selanjutnya dibuat, lapor Astro Awani.
Encik Loke bagaimanapun berpandangan bahawa perlu ada tempoh yang jelas bagi perkara tersebut.
Mengenai siapa yang bakal menggantikannya sebagai Menteri Pengangkutan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata perkara tersebut belum diputuskan.
Encik Loke menjelaskan bahawa tindakannya meletakkan jawatan dibuat selaras dengan keputusan dan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah Najib.
Menurutnya, parti itu tidak bersetuju dengan keputusan berkaitan tahanan rumah mantan Perdana Menteri tersebut.
Encik Loke sebelum ini menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada 19 September menyusuli keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Beliau ketika itu dilaporkan berkata surat peletakan jawatannya akan diserahkan selepas beliau pulang ke Malaysia dari China.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.