Skip to main content

Dunia

Anthony Loke lepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas di Chennah

Anggaran Waktu Membaca:
Anthony Loke lepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas di Chennah

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusannya melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dibuat atas keputusan peribadi tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. (Gambar: Seth Akmal/Astro AWANI)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 11:49PM
  • Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas tewas di DUN Chennah pada pilihan raya negeri 1 Ogos.
  • Beliau menyatakan keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa tekanan mana-mana pihak, walaupun menerima sokongan penuh daripada DAP Negeri Sembilan.
  • Loke telah memegang jawatan tersebut selama 22 tahun dan akan menyerahkan pemilihan pengganti kepada jawatankuasa negeri dalam mesyuarat akan datang.
  • Turut hadir dalam sidang media ialah Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo, manakala Cha Kee Chin mengiktiraf kepimpinan Loke sebagai antara yang terbaik dalam sejarah DAP Negeri Sembilan.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengumumkan akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan, menyusuli kegagalannya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dalam pilihan raya negeri pada Sabtu (1 Ogos).

Encik Loke berkata keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

"Tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat DAP pada Isnin (3 Ogos), selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Encik Loke berkata beliau sudah memegang jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan selama 22 tahun dan akan secara rasmi melepaskannya selepas mesyuarat jawatankuasa negeri minggu ini.

Menurutnya, pemilihan semula tidak diperlukan bagi mengisi jawatan tersebut dan penggantinya boleh dipilih dalam kalangan anggota jawatankuasa sedia ada.

"Saya akan memanggil satu mesyuarat dalam masa beberapa hari ini supaya jawatankuasa negeri DAP Negeri Sembilan boleh dirombak semula dan memilih seorang pemimpin baharu menjadi pengerusi DAP Negeri Sembilan," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.

DAP NEGERI SEMBILAN SEBELUM INI NYATA SOKONGAN

Pengumuman Encik Loke dibuat sehari selepas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan menyatakan solidariti dan sokongan penuh terhadap beliau untuk terus menerajui parti itu di negeri tersebut.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin berkata kepimpinan Encik Loke terbukti dan diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam sejarah DAP Negeri Sembilan.

Dalam pilihan raya negeri pada Sabtu, Encik Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon daripada MCA dengan majoriti 688 undi.

Sebanyak 10,918 pengundi membuang undi di kawasan tersebut.

Encik Loke mewakili DUN Chennah selama tiga penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018 sebelum mempertahankannya dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan pada 2023.

Sebelum berpindah ke Chennah, beliau merupakan ADUN Lobak selama dua penggal selepas memenangi kerusi tersebut pada PRU 2004 dan 2008.

Encik Loke juga merupakan Anggota Parlimen Seremban. Beliau mula menjadi Anggota Parlimen bagi Rasah pada 2008 sebelum berpindah ke Seremban pada 2013.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita