Anthony Loke kekal Setiausaha Agung, Gobind dipilih Pengerusi & Guan Eng Penasihat DAP
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028 dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang berlangsung sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad (16 Mac).

Encik Anthony Loke (dua dari kiri) kekal sebagai Setiausaha Agung DAP. (Gambar: Bernama)
Ini adalah penggal kedua Encik Loke menyandang jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada Encik Lim Guan Eng pada 2022.
Berdasarkan perlembagaan parti, jawatan setiausaha agung hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tempoh maksimum tiga penggal.
Menteri Pengangkutan itu adalah antara 30 pemimpin yang berjaya mendapat undian tertinggi apabila memperoleh 2,508 undi.
Perkara itu diumumkan Encik Loke dalam sidang media selepas kongres berkenaan berakhir malam semalam.
Sementara itu, Encik Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Encik Gobind yang juga Menteri Digital mendahului persaingan bagi Pemilihan CEC dengan memperoleh 2,785 undi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Encik Lim Guan Eng pula dipilih sebagai Penasihat DAP bagi penggal 2025-2028 menggantikan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan beliau memperoleh 1,719 undi.
Seramai 4,203 perwakilan daripada 1,650 cawangan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam itu dan bertanggungjawab mengundi 30 anggota CEC untuk penggal 2025-2028.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.