Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Annuar Musa tolak tawaran parti lain tandingi kerusi Ketereh; bertegas kekal bersama UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
Annuar Musa tolak tawaran parti lain tandingi kerusi Ketereh; bertegas kekal bersama UMNO

Annuar Musa. (Gambar fail: Bernama)

KOTA BHARU: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Annuar Musa, yang tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi itu, mengakui menolak tawaran beberapa parti lain. Ini termasuk Perikatan Nasional (PN) yang ingin mencalonkannya di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Encik Annuar, yang juga Ketua UMNO Ketereh, berkata beliau juga mengetahui bahawa calon PN Mejar Jen (B) Khlir Mohd Nor, yang sudah diumumkan untuk bertanding di kerusi tersebut, masih belum menerima watikah pelantikan kerana tawaran bertanding di kerusi tersebut telah diberikan kepadanya.

"Tak payah selindunglah, bukan nak berahsia pun tetapi memang sampai saat ini begitulah. Tetapi Khlir pun kawan saya, kenapa saya nak potong rezeki dia? Jadi saya beritahu kepada kawan-kawan serta parti yang nak bawa saya, jangan bergaduh sesama mereka, cukuplah UMNO bergaduh sesama UMNO kerana saya."

"Tak naklah saya begitu jadi nanti akhirnya saya menyebabkan banyak orang susah, lebih baik saya susah seorang," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Calon-Calon PRU15 BN Kelantan pada Jumaat (4 Nov).

Encik Annuar berkata beliau menolak tawaran yang diberikan kerana mempunyai prinsip untuk kekal bersama UMNO.

"Ada yang berkata esok masih ada lagi, boleh buat kejutan. Pada saya ini soal prinsip dan pegangan. Saya berterus-terang kalau ajak masuk parti lain, saya tak boleh, bukan benci parti lain tetapi memang pegangan saya begitu," katanya.

Sementara itu, Encik Annuar berkata beliau akan membantu calon BN Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, untuk mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU15.

Sebagai 'orang lama' UMNO Bahagian Ketereh, beliau bersedia untuk berkorban buat Encik Marzuani kerana ibu bapa calon muka baru itu merupakan tulang belakangnya sepanjang berkhidmat di kawasan Parlimen itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan