Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Annuar Musa sahkan mesyuarat Kabinet Malaysia akan berlangsung pada Jumaat

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Annuar Musa pada Khamis (6 Okt) memaklumkan mesyuarat Kabinet akan berlangsung pada Jumaat (7 Okt), dan beliau sudahpun menerima notis pemakluman mengenainya.

"Saya anggota Jemaah Menteri, ada notis untuk esok… macam biasa, mesyuarat mingguan lazimnya hari Rabu, namun sebab Parlimen bersidang maka diadakan pada hari Jumaat.

"Maka kami, menteri, akan hadir mesyuarat macam biasa, kerja berjalan terus. Ada mesyuarat (Kabinet) esok, Parlimen tak bubar lagi," katanya pada sidang media Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Khamis (6 Okt). 

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pihaknya malah akan terus menjalankan fungsinya selepas Parlimen dibubarkan, kerana tanggungjawab menguruskan inflasi, pengawalan harga barang dan bekalan adalah urusan harian.

"Jawatankuasa ini bubar atau tak bubar, kita akan jalan terus, kita akan terus buat kerja kita. Kerajaan memang.. kalau bubar pun kerajaan tetap wujud, kerajaan walaupun biasanya dirujuk sebagai caretaker government (kerajaan sementara), kita perlu menguruskan banyak perkara.

"Sekalipun Parlimen dibubarkan... termasuk urusan inflasi… ini urusan harian, urusan harga barang, urusan bekalan... jadi kerajaan akan terus memikul tanggungjawab ini, dan jawatankuasa kita akan menjalankan tugas seperti biasa," katanya.

Pasukan Khas yang ditubuhkan pada 29 Jun lepas itu berperanan mengumpulkan maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta menyelaraskan tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan