Skip to main content

Dunia

Anies, Prabowo dan Ganjar gigih pikat hati pengundi buat kali terakhir

Anggaran Waktu Membaca:
Anies, Prabowo dan Ganjar gigih pikat hati pengundi buat kali terakhir

(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni, CNA/Wisnu Agung Prasetyo, pasukan kempen Ganjar Pranowo)

JAKARTA: Calon presiden Indonesia berusaha dengan gigih pada hari terakhir berkempen.

Mereka mengadakan perhimpunan seperti konsert, dengan persembahan pemuzik tempatan, yang menyaksikan mantan presiden yang biasanya serius bernyanyi dan berjoget di atas pentas untuk meraih undi.

Tempoh berkempen 75 hari Indonesia berakhir secara rasmi pada Sabtu (10 Feb), dengan semua calon presiden membuat perjanjian saat terakhir sebelum tempoh bertenang selama tiga hari bermula esok (10 Feb) sehingga Rabu (14 Feb), ketika negara demokrasi ketiga terbesar itu akan memilih presiden kelapan.

Tiga calon tersebut adalah mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan, Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan mantan gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Penyokong Encik Anies, 54 tahun, dan calon naib presidennya Muhaimin Iskandar, 57 tahun, yang mengetuai Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) berhaluan Islam, memenuhi Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) di Jakarta Utara sejak subuh, untuk mendengar apa yang ingin dikatakan pasangan itu.

"Kami berada di sini kerana kami inginkan perubahan," kata Encik Anies, yang berjanji kempennya adalah untuk mencipta perubahan dalam negara. Ramai yang melihatnya bertentangan dengan Presiden Joko Widodo yang akan menamatkan penggalnya.

“Ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk menghentikan ketidakadilan dan menghentikan ketidaksamaan,” katanya.

LAUTAN BIRU DI JAKARTA PUSAT

Di pusat bandar Jakarta, stadium Gelora Bung Karno berubah menjadi lautan biru muda, warna yang dipakai oleh penyokong pendahulu tinjauan pendapat, Encik Prabowo Subianto dan calon naib presidennya Encik Gibran Rakabuming Raka.

Encik Prabowo dan Encik Gibran mendahului kebanyakan tinjauan pendapat dengan rating pelantikan sebanyak kira-kira 45 peratus. Malah, ada yang meletakkan mereka melebihi 50 peratus, yang merupakan nombor ajaib untuk memenangi pilihan raya pada pusingan pertama.

Jika tiada pasangan yang meraih 50 peratus, dan 20 peratus undian di sekurang-kurangnya separuh daripada 38 wilayah Indonesia, negara itu akan mengadakan pusingan kedua pada Jun.

Pasangan dengan undian terendah tidak layak untuk bertanding.

LAUTAN MERAH DI JAWA TENGAH

Calon presiden Ganjar Pranowo, yang merupakan gabenor Jawa Tengah sehingga September 2023, juga tidak berputus asa.

Calon dari parti pemerintah, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), memastikan bahawa meskipun beliau berada di tempat ketiga dalam kebanyakan tinjauan pendapat, dengan rating pelantikan sekitar 20 peratus, kira-kira lima peratus di belakang Encik Anies, beliau yakin akan menjadi pemenang pada 14 Februari.

Encik Ganjar, 55 tahun, mengadakan dua perhimpunan pada hari terakhir berkempen di pangkalannya dan PDI-P, Jawa Tengah, dalam satu langkah simbolik PDI-P yang biasa.

Beliau memulakan harinya di Solo, yang kini diketuai oleh datuk bandarnya Encik Gibran, jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Encik Jokowi dari 2005 hingga 2012.

Beribu-ribu orang bergegas ke kubu Vastenburg di Solo untuk mendengar ucapan Encik Ganjar, yang ditemani pasangannya, Encik Mahfud MD, 66 tahun.

Encik Mahfud meletak jawatan sebagai Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan pada 1 Februari.

Mereka kemudian pergi ke ibu kota wilayah Semarang, di mana lautan merah, yang menyerupai warna PDI-P menanti mereka.

"Kami mempunyai keazaman untuk menjadikan Indonesia lebih makmur seperti cita-cita pengasas kami Soekarno dan Hatta," Encik Ganjar, diikuti dengan jeritan penyokong.

Pengerusi PDI-P Megawati Sukarnoputri, 77 tahun, juga hadir di Semarang untuk memastikan partinya mencatat hatrik dalam pilhan raya.

Di padang Pancasila, beliau menari dan menyanyi bersama pemuzik tempatan, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh mantan presiden Indonesia yang biasanya kelihatan serius.

Di tengah-tengah dakwaan bahawa orang ramai diancam untuk tidak mengundi Encik Ganjar dan Encik Mahfud, Cik Megawati memberitahu orang ramai bahawa mereka harus mengundi dengan bebas.

"Undilah pemimpin yang boleh menjaga anda, bukan mereka yang menakut-nakutkan orang, juga bukan mereka yang menipu," katanya, sebagai rujukan kepada laporan mengenai tindakan keji semasa berkempen.
Sumber : BERITA Mediacorp/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita