Skip to main content

Dunia

Angkatan Pertahanan Awam Johor siap siaga 24 jam, pantau situasi gempa Segamat

Anggaran Waktu Membaca:
Angkatan Pertahanan Awam Johor siap siaga 24 jam, pantau situasi gempa Segamat

Lencana APM Johor. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Aug 2025 03:36PM Dikemas Kini : 24 Aug 2025 03:37PM
JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk memantau dan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan, susulan gempa bumi melanda Segamat dan gegaran kedua di 28 kilometer Barat Laut Kluang pagi Ahad (24 Ogos).

Pengarah APM Johor Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata walaupun tiada laporan kerosakan serius diterima setakat ini, pasukannya mengerahkan anggota bagi memantau situasi semasa di kawasan terlibat.

“APM bertugas 24 jam. Sekiranya berlaku bencana, anggota kami sedia digerakkan pada bila-bila masa. Kami sentiasa memantau perkembangan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata sebanyak tujuh anggota APM dikerahkan untuk melakukan pemantauan awal di lokasi terlibat mengikut syif, dengan tumpuan diberikan di Segamat.

Beliau menambah, pihaknya juga sedang menilai laporan di lapangan termasuk di Surau Kampung Sanglang, Segamat yang dilaporkan mengalami sedikit kerosakan akibat gegaran bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan besar. Jadi kita akan teruskan pemantauan dan jika ada keperluan baru kita akan mobilisasikan anggota untuk bertugas,” katanya.

Encik Kamal berkata APM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain dalam menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kejadian bencana seperti ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada pukul 9.00 pagi di 28 km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
Sumber : Bernama/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita