Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban tragedi rempuhan di Mina meningkat kepada 717

Angka korban tragedi rempuhan di Mina meningkat kepada 717 jemaah haji dari pelbagai kerakyatan, dengan 805 yang lain cedera. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Sep 2015 05:26PM Dikemas Kini : 25 Sep 2015 04:37PM

MINA: Angka korban tragedi rempuhan di Mina hari ini (24 September) meningkat kepada 717 jemaah haji dari pelbagai kerakyatan, dengan 863 yang lain cedera. Demikian menurut khidmat pertahanan awam Arab Saudi.

Lebih 200 ambulans dan 4,000 pegawai penyelamat juga dilapor dikerahkan ke tempat kejadian. Stesen televisyen Al-Arabiya menunjukkan satu konvoi ambulans menuju ke kawasan perkhemahan di Mina.

"Usaha sedang dijalankan untuk menyuraikan banjiran jemaah dan membimbing para jemaah ke laluan-laluan alternatif," menurut khidmat pertahanan awam tersebut dalam laman Twitternya.

Pasukan-pasukan pertahanan awam juga sedang menjalankan operasi menyelamat, menyusuli rempuhan yang disebabkan oleh begitu ramai orang bertolak-tolak antara satu sama lain.

Sebelum ini, 453 jemaah dilaporkan terkorban dan 719 cedera dalam rempuhan semasa ibadah haji itu, yang disertai sekitar 2 juta jemaah tahun ini.

Pasukan kecemasan mengusung para mangsa rempuhan yang cedera di Mina. (Gambar: AP)

Pasukan kecemasan mengusung para mangsa rempuhan yang cedera di Mina. (Gambar: AP)

INSIDEN PALING DAHSYAT DALAM 25 TAHUN

Rempuhan itu adalah tragedi paling dahsyat pernah berlaku pada musim haji dalam masa 25 tahun. Ia juga tragedi yang kedua pada musim haji tahun ini berikutan kejadian kren runtuh awal bulan ini di Masjidil Haram.

Difahamkan kejadian berlaku ketika para jemaah sedang dalam perjalanan ke kompleks melontar jamrah di Mina, untuk melakukan ibadah melontar jamrah Aqaba pada sekitar 9.00 pagi waktu Saudi.

Rempuhan berlaku di simpang jalan 204 dengan 223, iaitu kawasan kem yang menempatkan kebanyakannya para jemaah dari negara-negara Timur Tengah.

Jenazah mangsa korban rempuhan di Mina dikelilingi jemaah haji dan pasukan penyelamat. (Gambar: AP)

Jenazah mangsa korban rempuhan di Mina dikelilingi jemaah haji dan pasukan penyelamat. (Gambar: AP)

Ibadah haji dahulu dilanda pelbagai tragedi maut termasuk rempuhan, kebakaran di khemah dan rusuhan.

Kejadian rempuhan kali terakhir berlaku pada 2006, apabila 346 jemaah haji terkorban semasa ibadah melontar jamrah. Pada 1990 pula, satu rempuhan yang berlaku dalam sebuah terowong di Mina meragut 1,426 jemaah haji - kebanyakannya dari Asia.

Rempuhan di Mina. (Gambar: Twitter/Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi)

Rempuhan di Mina. (Gambar: Twitter/Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi)

Namun, peningkatan prasarana besar-besaran dan pelaburan besar terhadap teknologi kawalan banjiran jemaah sepanjang dua dekad lalu, mengurangkan kejadian sedemikian.

Gambar-gambar yang dimuat naik di laman Twitter khidmat pertahanan awam Arab Saudi menunjukkan para jemaah diusung oleh para kakitangan kecemasan ke dalam ambulans.

Kejadian tersebut berlaku sedang umat Islam seluruh dunia menyambut Aidiladha. Hari melontar jamrah secara tradisi disifatkan sebagai hari paling berbahaya kerana sejumlah besar jemaah menunaikan haji di lokasi yang sama.

Dua minggu lalu, 109 jemaah terkorban apabila sebuah kren pembinaan tumbang di Masjidil Haram.

Sumber : AFP/Reuters/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan