Skip to main content

Dunia

Angka korban Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 66 orang

Angka korban akibat Taufan Kalmaegi di Filipina mencecah 66 orang pada Rabu (5 Nov) sedang penduduk wilayah Cebu yang paling teruk terjejas, mula membersihkan kediaman dan premis perniagaan yang musnah akibat banjir dahsyat itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 66 orang
Para penduduk membersihkan rumah masing-masing selepas Taufan Kalmaegi melanda Bandar Mandaue, wilayah Cebu, pada 5 November 2025. (Gambar: AFP/Jam Sta Rosa)
CEBU: Angka korban akibat Taufan Kalmaegi di Filipina mencecah 66 orang pada Rabu (5 Nov) sedang penduduk wilayah Cebu yang paling teruk terjejas, mula membersihkan kediaman dan premis perniagaan yang musnah akibat banjir dahsyat itu.

Beberapa kawasan bandar dinaiki air banjir yang digambarkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini, menghanyutkan kereta, lori malah kontena penghantaran bersaiz besar.

Sebanyak 49 kematian dilaporkan di Cebu, kata timbalan pentadbir pertahanan awam Rafaelito Alejandro dalam temu bual bersama stesen radio tempatan DZMM, di mana beliau turut mengesahkan jumlah kematian tersebut.

“Bandar-bandar utama yang terjejas (akibat banjir), kawasan-kawasan perbandaran,” kata Encik Alejandro sambil menambah bahawa 26 orang masih hilang.

“Banjir kini sudah surut. Cabaran kami sekarang adalah untuk membersihkan serpihan yang menghalang jalan raya,” kata beliau.

Wartawan AFP pada pagi Rabu bercakap dengan para penduduk ketika mereka membersihkan jalan yang bertukar menjadi sungai sehari sebelumnya.

“Banjir di sini semalam memang teruk,” kata Reynaldo Vergara, 53 tahun, kepada AFP, sambil menambah bahawa semua barang di kedainya dihanyutkan air.

“Air sungai melimpah. Dari situlah datangnya air,” kata beliau.

“Sekitar pukul empat atau lima pagi, air begitu deras hingga kami tidak dapat keluar langsung ... tidak pernah berlaku seperti itu sebelum ini. Air benar-benar mengganas.”

Dalam tempoh 24 jam sebelum Taufan Kalmaegi melanda, kawasan sekitar Cebu City dilanda curahan hujan sebanyak 183 milimeter, jauh melebihi purata bulanan 131 milimeter, menurut pakar cuaca Charmagne Varilla kepada AFP.

Pada Selasa, gabenor wilayah Pamela Baricuatro menyifatkan keadaan itu sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

“Kami menjangkakan angin sebagai perkara paling berbahaya, tetapi ... sebenarnya airlah yang benar-benar mengancam keselamatan penduduk kami,” kata beliau kepada para wartawan.

“Air banjir ini benar-benar memusnahkan.”

Para pakar sains memberi amaran bahawa ribut menjadi semakin kuat akibat perubahan iklim yang didorong aktiviti manusia.

Lautan yang lebih panas membolehkan taufan bertambah lebih dahsyat dengan cepat, manakala atmosfera yang lebih hangat menampung lebih banyak lembapan, menyebabkan hujan lebih lebat.

Secara keseluruhan, hampir 400,000 orang dipindahkan terlebih awal daripada laluan taufan.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita