Skip to main content

Dunia

Angka korban Taufan Ditwah di Sri Lanka cecah 355 orang, lagi 366 dilaporkan hilang

Pasukan penyelamat di Sri Lanka berkejar masa pada Isnin (1 Dis) untuk membersihkan jalan raya dan menghantar bantuan kepada lebih separuh juta penduduk yang terjejas oleh taufan yang melanda pada minggu lalu.
Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban Taufan Ditwah di Sri Lanka cecah 355 orang, lagi 366 dilaporkan hilang
Seorang belia mendukung seorang lelaki warga emas sambil meredah banjir selepas hujan lebat turun di Wellampitiya, pinggir Colombo, pada 30 November 2025. (Gambar: AFP/Ishara S Kodikara)
COLOMBO: Pasukan penyelamat di Sri Lanka berkejar masa pada Isnin (1 Dis) untuk membersihkan jalan raya dan menghantar bantuan kepada lebih separuh juta penduduk yang terjejas oleh taufan yang melanda pada minggu lalu.

Ini sedang angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 355 orang, dengan lagi 366 orang masih hilang, menurut perangkaan rasmi.

Taufan Ditwah, yang membawa angin kencang dan hujan lebat, mencetuskan banjir terburuk di negara itu dalam tempoh sedekad apabila ia melanda pada Jumaat, menyebabkan berlaku tanah runtuh di kawasan berbukit di wilayah tengah negara itu.

Menurut gambar Reuters, para penduduk cuba menyelamatkan harta benda masing-masing daripada rumah mereka yang dinaiki air banjir di sepanjang tebing Sungai Kelani berhampiran ibu kota Colombo.

Pihak berkuasa berkata perkhidmatan tren dan penerbangan sudah disambung semula selepas ia terganggu pada minggu lalu, walaupun sekolah-sekolah masih ditutup.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa kaji cuaca menyatakan: "(Taufan) itu berkemungkinan besar gerak ke arah utara, jauh daripada pulau dan semakin melemah."

Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake berkata pada Ahad ia merupakan kali pertama negara itu dilanda bencana alam sedemikian, yang disifatkannya sebagai "terbesar dan paling mencabar" dalam sejarah Sri Lanka.

Taufan itu juga menurunkan hujan lebat di wilayah Tamil Nadu di selatan India pada hujung minggu, di mana tiga orang maut dalam insiden berkaitan hujan, kata menteri pengurusan bencana negeri itu, K K S S R Ramachandran, pada Ahad.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita