Skip to main content

Dunia

Angka korban Taufan Bualoi di Vietnam meningkat kepada 51, bank diminta sokong syarikat terjejas

Angka korban di Vietnam akibat Taufan Bualoi dan banjir yang dicetuskannya meningkat kepada 51 orang, menurut laporan pemerintah pada Jumaat (3 Okt), sementara bank pusat menggesa institusi kewangan untuk menyokong perniagaan yang terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban Taufan Bualoi di Vietnam meningkat kepada 51, bank diminta sokong syarikat terjejas

Seorang lelaki meredah banjir sambil membawa barangan miliknya selepas Taufan Bualoi melanda wilayah Nghe An, Vietnam, pada 30 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Thinh Nguyen)

HANOI: Angka korban di Vietnam akibat Taufan Bualoi dan banjir yang dicetuskannya meningkat kepada 51 orang, menurut laporan pemerintah pada Jumaat (3 Okt), sementara bank pusat menggesa institusi kewangan untuk menyokong perniagaan yang terjejas.

Bualoi melanda daratan pada Isnin di kawasan utara tengah Vietnam, membawa ombak laut besar, angin kencang dan hujan lebat yang turut menyebabkan 14 orang hilang dan mencederakan 164 yang lain, menurut laporan agensi pengurusan bencana pemerintah.

Agensi itu juga menaikkan anggaran kerosakan harta benda akibat taufan dan banjir kepada 15.9 trilion dong (S$777.14 juta), berbanding AS$435.8 juta (S$561.65 juta) dalam laporan terdahulu yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut laporan itu, taufan tersebut menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya, sekolah dan pejabat, serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan puluhan ribu keluarga.

Lebih 230,000 rumah rosak atau ditenggelami air, manakala hampir 89,000 hektar sawah padi dan tanaman lain musnah, menurut laporan itu.

Namun laporan tersebut tidak menyebut sebarang kerosakan besar pada premis perindustrian.

Vietnam merupakan sebuah hab pengilangan serantau, dan kilang-kilang besar di laluan taufan termasuk yang dimiliki oleh Foxconn, Formosa Plastics, Luxshare dan Vinfast.

Bank pusat sudah mengarahkan bank-bank supaya mempertimbangkan untuk menyusun semula atau membekukan pinjaman bagi syarikat-syarikat yang terjejas akibat taufan, kata timbalan gabenor Pham Thanh Ha pada Jumaat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita