Angka korban tanah runtuh Sulawesi naik kepada 23 orang
Anggaran Waktu Membaca:

(Gambar: AFP/Didot)
JAKARTA: Angka korban akibat tanah runtuh berhampiran lombong emas haram di pulau Sulawesi, Indonesia telah meningkat kepada 23 orang, manakala 35 yang lain masih hilang, menurut seorang pegawai pada Selasa (9 Jul).
Lombong tidak berlesen adalah satu perkara biasa di negara Asia Tenggara yang kaya dengan mineral itu, di mana tapak-tapak terbiar menarik penduduk tempatan yang memburu sisa bijih emas tanpa peralatan keselamatan yang sewajarnya.
Tanah runtuh melanda sebuah kampung terpencil di daerah Bone Bolango wilayah Gorontalo pada lewat Sabtu berikutan hujan lebat.
"Sehingga petang ini ... 23 orang maut, 66 orang terselamat dan 35 orang sedang dicari", kata pegawai agensi mencari dan menyelamat Gorontalo, Ida Bagus Nyoman Ngurah Asrama kepada AFP.
Korban jiwa sebelum ini adalah 11 orang, setakat petang Isnin.
Seorang pegawai pasukan mencari dan menyelamat sebelum ini berkata, sesetengah mangsa adalah pelombong manakala sebahagian lagi adalah orang yang mengendalikan gerai berhampiran lombong.
Lebih 270 orang, termasuk pegawai polis dan tentera, telah dikerahkan sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat sejak dua hari lalu, kata Ida.
Kenderaan masih tidak dapat sampai ke kawasan bencana kerana beberapa jambatan runtuh, dengan pasukan-pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki, menurut Ida.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan antara November dan April, tetapi Julai biasanya musim kemarau dan hujan lebat jarang berlaku.
Pada Mei, sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas tanah runtuh dan banjir di wilayah Sulawesi Selatan menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan jalan raya.
Tanah runtuh di wilayah yang sama sebulan sebelum ini mengorbankan 20 orang.
Sumber : CNA/AE/ae
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.