Skip to main content

Dunia

Angka korban serangan tembakan sekolah Thailand meningkat kepada 9 susuli kematian pelajar 12 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban serangan tembakan sekolah Thailand meningkat kepada 9 susuli kematian pelajar 12 tahun

Bunga diletakkan di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi bagi memperingati mangsa serangan tembakan, sehari selepas kejadian di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, Thailand. (Gambar fail: Reuters/Chalinee Thirasupa)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 09:47PM
  • Remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai membunuh datuk dan neneknya sebelum melakukan serangan tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan maut termasuk pelajar perempuan 12 tahun.
  • Serangan berlaku pada 7 Ogos di wilayah Nonthaburi, pinggir Bangkok, dengan 14 mangsa masih dirawat di hospital dan tujuh dalam keadaan kritikal.
  • Senjata api yang digunakan didaftarkan atas nama datuk remaja tersebut, dan remaja itu dikatakan mengalami tekanan berkaitan sekolah walaupun keluarganya tidak menyedari masalah itu.
  • Sekolah menggantung kelas dari 10 hingga 14 Ogos, sementara insiden ini menyorot isu kadar pemilikan senjata api yang tinggi di Thailand dan beberapa kejadian tembakan sebelum ini.
Dijana oleh AI
BANGKOK: Angka korban serangan tembakan di sebuah sekolah dan sebuah rumah di pinggir Bangkok meningkat kepada sekurang-kurangnya sembilan selepas seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah pada Sabtu (8 Ogos).

Kementerian Kesihatan Thailand menyatakan pelajar itu meninggal dunia selepas dirawat di hospital.

Sekolah berkenaan pada Jumaat (7 Ogos) memuat naik satu catatan di Facebook untuk mendapatkan derma darah bagi dua pelajar, termasuk mangsa berusia 12 tahun itu.

Seramai 14 mangsa masih dirawat di hospital, dengan tujuh daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Kebanyakan mangsa yang cedera berusia antara 12 hingga 14 tahun.

REMAJA 14 TAHUN DIPERCAYAI BUNUH DATUK, NENEK SEBELUM SERANG SEKOLAH

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu melepaskan tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi di wilayah Nonthaburi, barat laut Bangkok, sekitar 10.00 pagi pada Jumaat.

Dia kemudian dipercayai menembak dirinya sendiri.

Pihak berkuasa berkata remaja itu juga dipercayai membunuh datuk dan neneknya di rumah mereka pada awal pagi sebelum melancarkan serangan di sekolah tersebut.

Mayat lapan individu sudah dituntut anggota keluarga dari Institut Perubatan Forensik Bangkok.

Mereka terdiri daripada lima kakitangan sekolah, remaja yang dipercayai melakukan serangan itu serta datuk dan neneknya.

Mayat pelajar perempuan berusia 12 tahun itu pula masih belum diserahkan kepada keluarganya.

Ketua institut tersebut, Wiroon Supasingsiripreecha, berkata kebanyakan mangsa mengalami satu das tembakan yang membawa maut pada bahagian penting tubuh, termasuk dada atau kepala.

Beliau berkata kecederaan akibat tembakan yang ditemui pada remaja terbabit sepadan dengan senjata yang digunakannya.

Dapatan forensik lebih terperinci, termasuk keputusan ujian toksikologi, dijangka diperolehi kemudian.

SENJATA DIDAFTARKAN ATAS NAMA DATUK

Menurut pihak berkuasa, senjata api yang digunakan dalam serangan itu berukuran kecil dan didaftarkan secara sah atas nama datuk remaja tersebut.

Terdapat laporan bahawa remaja itu menunjukkan tanda-tanda tekanan berkaitan sekolah.

Namun, beberapa anggota keluarganya memberitahu media Thailand bahawa mereka tidak mengetahui sebarang masalah yang mungkin dihadapinya.

Sekolah pemerintah yang mempunyai sekitar 3,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun itu akan menggantung semua kelas dari 10 hingga 14 Ogos.

Kakitangan sekolah pula diarahkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh tersebut.

Pada Sabtu (8 Ogos), beberapa orang meletakkan bunga di pintu masuk sekolah bagi memperingati para mangsa.

Sebahagian ibu bapa turut membawa anak mereka kembali ke sekolah untuk mengambil barangan yang ditinggalkan ketika serangan berlaku.

Seorang bapa berkata anaknya, yang berada di sekolah ketika kejadian, masih terkejut dan tidak dapat tidur bersendirian.

PEMILIKAN SENJATA API THAILAND TERTINGGI DI ASIA

Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di Asia.

Data Small Arms Survey dan GunPolicy.org pada 2017 menganggarkan terdapat sekitar 15.1 senjata api milik orang awam bagi setiap 100 penduduk di Thailand.

Sebagai perbandingan, kadarnya kurang daripada satu senjata api bagi setiap 100 penduduk di negara jiran Malaysia.

Walaupun serangan tembakan rambang tidak kerap berlaku, Thailand menyaksikan beberapa kejadian tembakan berprofil tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Februari, seorang remaja berusia 17 tahun mencuri senjata api milik polis sebelum melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah pemerintah di selatan Thailand.

Serangan selama dua jam itu menyebabkan seorang maut dan dua lagi cedera.

Pada 2023 pula, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dituduh melakukan serangan tembakan di sebuah pusat beli-belah utama di Bangkok.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita