Angka korban ribut tropika Basyang di Filipina meningkat kepada 12 orang
MANILA: Angka korban akibat Ribut Tropika Basyang (nama antarabangsa Penha) meningkat kepada 12 orang manakala jumlah keluarga yang terjejas mencecah 132,000, kata jurucakap Pejabat Pertahanan Awam (OCD) pada Ahad (8 Feb), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam temu bual bersama saluran radio dzBB, jurucakap OCD Junie Castillo berkata jumlah itu bersamaan kira-kira 467,000 individu yang tinggal di 850 barangay di wilayah Visayas dan Mindanao.
Laporan awal OCD memaklumkan sembilan daripada kematian yang dilaporkan berlaku di wilayah 10 (Mindanao Utara) manakala tiga lagi dari Caraga.
Mangsa yang dilaporkan maut sama ada akibat lemas atau tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Encik Castillo berkata operasi pembersihan kini sedang dijalankan.
Beliau menambah, rumah yang rosak berjumlah sekitar 445 unit, termasuk 38 rumah yang “musnah sepenuhnya”.
Encik Castillo turut memaklumkan bahawa pihaknya masih belum mempunyai angka kerosakan infrastruktur dan pertanian kerana operasi penilaian pantas kerosakan sedang dijalankan.
Ketua Polis Negara Filipina (PNP) Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr. mengarahkan komander unit menilai infrastruktur serta anggota polis yang terjejas di kawasan yang dilanda Basyang.
“Langkah ini akan memastikan penyeliaan berkesan terhadap operasi bantuan dan pemulihan pascabencana,” kata Encik Nartatez dalam satu kenyataan.
Penilaian awal menunjukkan talian komunikasi dan rantaian bekalan masih beroperasi di pejabat polis wilayah yang terjejas, katanya.
Anggota polis turut membantu pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat serta menyalurkan bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.