Angka korban pengganasan merosot pada 2018, namun lebih banyak negara terjejas
Bagi tahun keempat berturut-turut, angka korban akibat serangan pengganas merosot pada 2018, menurut dapatan satu laporan baru. Terdapat 15,952 kematian tahun lepas, kurang daripada separuh jumlah kematian 33,555 orang pada tahun 2014 apabila ancaman keganasan berada di kemuncaknya.
Tentera Iraq. (Gambar: AHMAD AL-RUBAYE/AFP)
SINGAPURA: Bagi tahun keempat berturut-turut, angka korban akibat serangan pengganas merosot pada 2018, menurut dapatan satu laporan baru. Terdapat 15,952 kematian tahun lepas, kurang daripada separuh jumlah kematian 33,555 orang pada tahun 2014 apabila ancaman keganasan berada di kemuncaknya.
Dapatan itu berselaras dengan keadaan kumpulan pengganas ISIS yang semakin terhapus. Kini kumpulan itu mempunyai kira-kira 18,000 anggota, berbanding lebih 70,000 anggota pada 2014.
Meskipun angka korban merosot, jangkauan kumpulan pengganas pula telah meluas. Tahun lalu, 71 negara mencatatkan sekurang-kurangnya satu kematian berkaitan dengan pengganasan, menjadikannya tahun kedua paling teruk dari segi jumlah kematian berkenaan sepanjang 20 tahun yang lalu, dengan tahun 2016 merupakan tahun terburuk.
Laporan Indeks Pengganasan Global 2019 itu diterbitkan pada Rabu (20 Nov) oleh Institut Ekonomi dan Keamanan, sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di Sydney.
PENGGANAS WANITA, HALUAN KANAN MENINGKAT
Laporan itu juga menggariskan trend membimbangkan mengenai lonjakan dalam pengganasan politik haluan kanan ekstrem dan peningkatan penyertaan wanita dalam pengganasan antara tahun 2013 dengan 2018.
Dalam tempoh itu, serangan haluan kanan ekstrem di Amerika Utara, Eropah Barat dan Oceania melonjak kepada empat kali ganda, dan trend itu berterusan sehingga tahun ini, dengan 77 kematian akibat pengganas haluan kanan ekstrem sehingga September.
Di merata dunia, jumlah serangan nekad oleh pengebom wanita melonjak sebanyak 450 peratus, sementara serangan nekad oleh pelaku lelaki menjunam 47 peratus dalam tempoh yang sama.
BAGAIMANA DI ASIA?
Keadaan di rantau Asia Pasifik bertambah baik, dengan 11 daripada 19 negara termasuk Malaysia mencatatkan kemajuan pada Indeks Pengganasan Global, yang mencatat jumlah kejadian pengganas, kematian dan kecederaan akibat pengganas serta kos kerosakan harta benda.
Singapura sekali lagi mencatatkan sifar selain Timor-Leste, Korea Utara, Kemboja dan Mongolia, yang tidak mengalami sebarang ancaman pengganasan aktif tahun lalu.
Bagaimanapun, keadaan pengganasan di empat tempat - iaitu Indonesia, Taiwan, Vietnam dan Korea Selatan - lebih teruk sedikit tahun lepas. Dalam kalangan empat tempat itu, peningkatan terbesar kematian akibat pengganasan berlaku di Indonesia, di mana jumlah kematian meningkat sebanyak 39 berbanding 2017. Peningkatan itu adalah keenam tertinggi secara global.
FILIPINA, THAILAND PALING TERUK TERJEJAS DI RANTAU INI
Meskipun begitu, Filipina kekal sebagai negara paling terjejas akibat pengganasan di rantau Asia Pasifik. Sebanyak 3,000 nyawa terkorban akibat pengganasan sejak 2002 - hampir separuh angka korban 7,000 yang tercatat di rantau ini dalam tempoh sama.
Dengan 297 kematian, 343 kecederaan dan 424 insiden tahun lalu, nengara Asia Tenggara itu adalah yang kesembilan dalam senarai laporan itu bagi negara-negara paling terjejas oleh pengganasan, selepas India dan Yaman namun mendahului Congo.
Negara serantau yang kedua paling terancam oleh pengganasan adalah Thailand, yang mencatat lagi 1,900 kematian, kebanyakannya berlaku dalam tempoh sedekad antara 2006 hingga 2016.
Kedua-dua jumlah serangan dan kematian yang dialaminya merosot sepanjang dua tahun lalu, tetapi negara itu masih menyaksikan 135 insiden tahun lepas, 25 daripadanya menyebabkan 39 kematian.
Punca utama ancaman pengganasan Thailand adalah kumpulan-kumpulan yang tidak dikenali atau tidak berstruktur seperti yang dirujuk sebagai "pelampau antikerajaan". Serangan biasanya dilakukan menggunakan senjata api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.