Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban nahas Genting Highlands meningkat kepada tujuh orang

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan sebuah van yang terbabas di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada petang Rabu (8 Feb) maut, menjadikan jumlah yang terkorban kini tujuh orang.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka yang maut dikenali sebagai Wong Choun Chiet (pemandu), 49 tahun; Foong Ah Lan, 67 tahun; Lee Moy, 67 tahun; Goh Siew Kim, 61 tahun; Ang Meng Hing, 62 tahun; Seow Mee Tin, 72 tahun, dan Chang Them Kong, 70 tahun.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati 13 penumpang dari Genting Highlands dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang menaiki sebuah van persiaran yang kemudian hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu van telah meninggal dunia di tempat kejadian bersama lima orang penumpang lain manakala seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu malam. 

Katanya enam mangsa yang cedera sudahpun dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (termasuk seorang yang kemudian meninggal dunia) manakala dua lagi dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan dan telah dipindahkan ke Hospital Temerloh.

Encik Ramli berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis memohon orang ramai yang menjadi saksi kemalangan itu tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari semasa van yang dinaiki 14 orang itu sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan