Angka korban kebakaran hutan Korea Selatan cecah 18 orang
Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban akibat beberapa kebakaran hutan yang melanda kawasan tenggara Korea Selatan.
Seorang anggota bomba berusaha memadamkan api kebakaran di sebuah rumah di Uiseong, Korea Selatan, pada 25 Mac 2025. (Gambar: Yonhap/Yoon Gwan-shick melalui AP)
Kebakaran maut merebak di kawasan tenggara Korea Selatan pada Selasa (25 Mac), memaksa ribuan penduduk melarikan diri dari rumah mereka dan memusnahkan kawasan kejiranan, dengan pihak berkuasa memindahkan ratusan banduan dari penjara.
Pada Rabu, setakat pukul 5.00 pagi, 12 orang maut akibat kebakaran yang bermula di daerah Uiseong, manakala empat lagi kematian dikaitkan dengan kebakaran lain di daerah Sancheong, menurut Kementerian Keselamatan.
Kebakaran Uiseong, yang hanya terkawal pada kadar 68 peratus dan diburukkan angin kencang, menunjukkan skala dan kelajuan yang "tidak boleh terbayangkan," kata Lee Byung-doo, seorang pakar bencana hutan dari Institut Sains Hutan Nasional.
Menurut Kementerian Keselamatan pada Rabu, keadaan kering dijangka berterusan di kawasan yang terjejas oleh kebakaran.
Perubahan iklim dijangka akan menyebabkan kebakaran hutan berlaku dengan lebih kerap, kata Encik Lee, sedang kebakaran hutan seperti yang melanda sebahagian daripada Los Angeles pada Januari dan kebakaran di timur laut Jepun baru-baru ini masih boleh dikatakan jarang berlaku.
"Kita harus mengakui kebakaran hutan berskala besar akan semakin meningkat dan perlu menyediakan lebih banyak sumber dan tenaga kerja," katanya kepada stesen televisyen tempatan.
Mangsa termasuk empat orang yang cuba melarikan diri dari kebakaran, namun kenderaan mereka terbalik. Tiga terkorban dan seorang lagi cedera, lapor agensi berita Yonhap.
Kebakaran yang bermula pada Sabtu di Uiseong masih belum dapat dikawal, memusnahkan kuil-kuil kuno dan rumah.
Pemerintah telah menetapkan kawasan yang terjejas sebagai zon bencana khas, dan berkata kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan lebih daripada 15,000 hektar.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.