Skip to main content

Dunia

Angka korban kebakaran di Hong Kong cecah 159 orang, termasuk bayi

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban kebakaran di Hong Kong cecah 159 orang, termasuk bayi
Bunga-bunga kelihatan di hadapan blok-blok apartmen Wang Fuk Court selepas kebakaran maut pada 26 November di daerah Tai Po, Hong Kong pada 3 Disember, 2025. (Gambar: AFP/Philip Fong)
 
Diterbitkan : 03 Dec 2025 10:49PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 10:54PM
HONG KONG: Angka korban dalam kebakaran paling dahsyat di Hong Kong sejak beberapa dekad lalu sudah mencapai 159 orang, selepas gerakan mencari di kesemua bangunan yang dijilat api selesai, menurut polis pada Rabu (3 Dis), sambil memberi amaran angka itu mungkin belum muktamad.

Kebakaran itu meletus genap seminggu lalu di Wang Fuk Court, di daerah utara Tai Po, sekali gus menjadi kebakaran bangunan kediaman paling buruk di dunia sejak 1980.

"Kami telah menermui 159 mayat. 140 daripadanya sudah dikenalpasti susuli pemeriksaan awal," kata pesuruhjaya polis Joe Chow dalam satu sidang media. Beliau menyifatkan makluimat itu sebagai rumusan sementara selepas gerakan mencari di bangunan-bangunan terjejas selesai.

Menurutnya, angka kematian mungkin diubah lagi selepas para pegawai menemui apa yang disyaki "tulang manusia" yang perlu menjalani ujian forensik.

Mereka yang maut termasuk sekurang-kurangnya 91 wanita dan 49 lelaki, dengan mangsa paling muda merupakan seorang bayi berusia setahun, manakala mangsa tertua berusia 97 tahun, menurut Encik Chow.

Pembantu rumah asing dari Indonesia dan Filipina adalah antara 31 orang yang masih hilang.

"Kami betul-betul mahu, sekiranya masih ada mayat di tapak kejadian, kami mahu menemuinya secepat mungkin supaya keluarga mereka boleh mengucapkan salam terakhir," kata Encik Chow.

Jumlah mereka yang ditangkap juga sudah bertambah.

Polis kini sudah memberkas 21 suspek atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa sengaja, semasa menjalankan siasatan ke atas tragedi itu, manakala badan antirasuah Hong Kong pula menyiasat kemungkinan berlakunya amalan rasuah.

Di tengah-tengah seruan agar siasatan dijalankan secara telus dan bertanggungjawab, Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee mengarahkan sebuah jawatankuasa yang dipimpin seorang hakim agar menyiasat punca kebakaran dahsyat itu dan menyemak penyeliaan kerja-kerja ubah elok yang dipercayai menyebabkan api merebak dengan cepat.

Para penghuni Wang Fuk Court diberitahu oleh pihak berkuasa tahun lalu bahawa mereka menghadapi "risiko kebakaran amat rendah" selepas mereka membuat aduan tentang risiko kebakaran terbit daripada kerja-kerja ubah elok itu, kata Jabatan Buruh bandar itu.

Pihak berkuasa mengatakan jaring plastik bermutu rendah dan papan styrofoam yang digunakan semasa kerja-kerja ubah elok di bangunan-bangunan kediaman tinggi itu menyebabkan api marak.

“Kita mesti membongkar kebenaran, memastikan keadilan ditegakkan, mententeramkan roh yang sudah meninggalkan kita, dan memberikan ketenangan kepada yang hidup,” kata Encik Lee kepada wartawan semasa sidang media mingguan pada Selasa. “Kita mahu memastikan tragedi sebegini tidak akan berulang lagi.”

PILIHAN RAYA AKAN DITERUSKAN

Pemerintah Hong Kong juga akan meneruskan pilihan raya perundangan yang dijadualkan pada Ahad, walaupun terdapat keraguan mengenai penglibatan penduduk tempatan yang masih terkesan akibat bencana tersebut.

Pilihan raya itu dilihat oleh sesetengah penganalisis dan penduduk sebagai ujian terhadap keabsahan pemerintah Hong Kong sedang ia cuba meredakan kemarahan awam mengenai kebakaran itu di tengah-tengah tindakan tegas berterusan berkaitan keselamatan negara.

"Sejujurnya, ini membangkitkan kemarahan. Saya rasa ia tidak hormat," kata Trent Heung, 37, yang datang berhampiran tapak kejadian untuk meletakkan jambangan bunga sebelum pergi bekerja.

"Semua orang masih berduka dan saya benar-benar rasa tiada perkara lain yang harus diberi keutamaan, selain memberi penghormatan dan memastikan semua mangsa dan mereka yang terjejas dijaga dengan rapi."

Sekurang-kurangnya dua orang, termasuk mantan ahli majlis daerah pro-demokrasi Kenneth Cheung dan seorang pelajar yang melancarkan petisyen awam untuk menuntut agar siasatan bebas dijalankan ke atas kebakaran itu, ditahan polis sejak Sabtu, kata dua sumber kepada Reuters. Kedua-duanya sudah dibebaskan dengan ikat jamin.

Pada Rabu, China mengulangi amarannya terhadap sebarang usaha untuk menggunakan tragedi itu untuk "menjerumuskan Hong Kong kembali ke dalam keadaan huru hara" seperti 2019, apabila bantahan besar-besaran mencabar Beijing dan mencetuskan krisis politik.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita