Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban gempa Turki jangkaui 50,000; pihak berkuasa perluas siasatan

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban gempa Turki jangkaui 50,000; pihak berkuasa perluas siasatan

Orang ramai menunggang motosikal melewati runtuhan bangunan di bandar Samandag, Turki. (Gambar fail: Bulent Kili/AFP)

Diterbitkan : 27 Feb 2023 07:50AM Dikemas Kini : 27 Feb 2023 09:16AM
ROME: Angka korban gempa bumi dahsyat, yang menggegarkan kedua-dua Turki dan negara jiran Syria pada 6 Februari, melangkaui 50,000, menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan pada Jumaat (24 Feb).

Ketua Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Sabtu (25 Feb) beliau menyaksikan keadaan ibarat malapetaka yang sangat dahsyat ketika melawati kawasan-kawasan yang lumpuh akibat gempa itu di bahagian selatan Turki.

"Terdapat hanya satu perkataan untuk menggambarkan apa yang saya lihat hari ini: Malapetaka," kata Pengarah Eksekutif WP David Beasley sehari selepas melawat bandar Antakya di wilayah Hatay, Turki.

Siasatan terhadap keruntuhan bangunan dalam gempa bumi dahsyat awal bulan ini semakin meluas apabila Turki menahan 184 individu yang disyaki bertanggungjawab ke atas insiden itu. Perkara itu dinyatakan seorang Menteri Kabinet Turki ketika kemarahan orang ramai semakin memuncak terhadap isu rasuah berhubung prosedur pembinaan bangunan.
 
Pada Sabtu, jumlah kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 44,128 di Turki, lantas menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di Turki dan negara jiran Syria kini lebih 50,000.

Lebih 160,000 bangunan, yang mengandungi 520,000 apartmen runtuh atau rosak teruk di Turki, yang terburuk dalam sejarah moden negara itu. Menteri Kehakiman Bekir Bozdag berkata lebih 600 individu disiasat berkaitan dengan bangunan runtuh.

Mereka yang secara rasmi ditangkap dan direman dalam tahanan termasuk 79 kontraktor pembinaan, 74 individu yang bertanggungjawab ke atas bangunan, 13 pemilik hartanah dan 18 individu yang telah membuat pengubahsuaian bangunan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menghadapi cabaran politik terbesar dalam pemerintahannya selama dua dekad dalam pilihan raya yang dijadual diadakan menjelang Jun dan menjanjikan kebertanggungjawaban serta tata kelola lebih baik.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan