Skip to main content

Dunia

Angka korban gempa Maghribi melebihi 1,000 orang

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban gempa Maghribi melebihi 1,000 orang

(Gambar: AFP/Michaƫl Bizet /UGC)

Diterbitkan : 09 Sep 2023 10:46AM Dikemas Kini : 09 Sep 2023 11:44PM

RABAT: Gempa bumi kuat berukuran 6.8 skala Richter menggegarkan Maghribi pada pukul 11.11 malam waktu tempatan (2211 GMT) Jumaat (8 Sep), menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Menurut Kementerian Dalam Negara Maghribi, angka korban kini melepasi 1,000 orang dengan lebih 670 orang dilapor cedera sejauh ini.

Seorang pegawai pemerintah berkata kebanyakan kematian berlaku di kawasan pergunungan yang sukar diakses.

Bangunan rosak di Marrakesh akibat gempa pada 9 Sep 2023. (Gambar: AFP/Michael Bizet/Handout)

Pusat gempa berada dengan kedalaman 18.5 kilometer, kawasan Ighil di Pergunungan Atlas. Ighil merupakan kawasan perkampungan pertanian kecil yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) barat daya bandar Marrakech. 

Selepas kejadian itu, penduduk Fes, sebuah bandar di utara Maghribi, meninggalkan rumah mereka dan berkumpul di jalan raya kerana bimbang berlakunya gegaran susulan, lapor Xinhua.

Gempa bumi dirasai di banyak bandar di seluruh Maghribi, termasuk Rabat dan Casablanca. 

Penduduk berkumpul di sebuah dataran di Marrakesh susuli gempa pada 9 Sep 2023. (Gambar: AFP/Fadel Senna)
Penduduk berkumpul di jalan raya di Casablanca susuli gempa kuat di Maghribi pada 9 Sep 2023. (Gambar: Reuters/Abdelhak Balhaki)

Banyak kediaman runtuh di bandar Taroudant dan Marrakesh, lapor media tempatan. Penduduk Marrakech yang terletak paling hampir dengan pusat gempa itu, berkata beberapa bangunan turut runtuh di bandar berkenaan yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Montasir Itri yang tinggal di perkampungan Asni terletak di kawasan pergunungan, berkata kebanyakan rumah musnah akibat gegaran kuat berkenaan.

"Jiran kami terperangkap bawah runtuhan, dan usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mereka," katanya.

Gempa bumi kali ini adalah yang paling berdarah selepas bencana sama melanda Al Hoceima di pergunungan Rif yang meragut lebih 600 nyawa pada 2004.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita