Angka korban gempa Jepun meningkat kepada 13; operasi mencari mangsa diteruskan
Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di pusat beli-belah Aeon Mall yang musnah di Kumamoto, Jepun, selepas gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter melanda wilayah itu. (Gambar: Kyodo menerusi Reuters)
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi berkata pasukan penyelamat kini mengejar masa untuk meneruskan operasi, sedang semua sumber yang ada sedang digerakkan bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa.
OPERASI MENYELAMAT DITERUSKAN
Lapan mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan sebuah pusat beli-belah yang sebahagiannya runtuh.
Dua wanita berusia dalam lingkungan 20-an tahun terbunuh menyusuli satu letupan, yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas, berlaku kira-kira sejam selepas gempa bumi itu. Punca sebenar letupan masih disiasat.
Pihak berkuasa memberi tumpuan kepada kawasan bangunan yang masih menerima panggilan meminta bantuan.
Menurut laporan NHK, antara 20 hingga 30 pekerja pusat beli-belah itu masih belum dapat dikesan.
Selain itu, tujuh lagi individu dilaporkan hilang selepas sebuah cerobong runtuh di sebuah kilang kertas, manakala empat lagi cedera parah.
RATUSAN RIBU PENDUDUK DIPINDAHKAN
Kira-kira 260,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Gempa bumi itu turut menyebabkan lebih 36,000 rumah terputus bekalan elektrik, selain merosakkan jalan raya di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kemungkinan berlaku gempa susulan dalam tempoh seminggu serta risiko tanah runtuh.
OPERASI KILANG TERJEJAS
Beberapa syarikat utama, termasuk Honda dan Tokyo Electron, menggantung operasi kilang mereka sehingga Rabu.
Sementara itu, pengeluar cip Taiwan, TSMC, memindahkan pekerjanya sebagai langkah berjaga-jaga sebelum operasi disambung semula lewat Selasa.
Jepun terletak dalam Lingkaran Gunung Berapi Pasifik dan merupakan antara negara yang paling kerap dilanda gempa bumi di dunia.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.