Skip to main content

Dunia

Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 2,295

Angka kematian akibat dua gempa bumi yang melanda utara Venezuela pada 24 Jun meningkat kepada 2,295 orang, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez pada Rabu (1 Jul), lapor Anadolu Ajansi.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban gempa bumi di Venezuela meningkat kepada 2,295

Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di lokasi bangunan runtuh menyusuli gempa bumi pada 24 Jun di La Guaira, Venezuela, pada 1 Julai 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Jul 2026 12:19PM
BOGOTA (COLOMBIA): Angka kematian akibat dua gempa bumi yang melanda utara Venezuela pada 24 Jun meningkat kepada 2,295 orang, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodriguez pada Rabu (1 Jul), lapor Anadolu Ajansi.

Dalam taklimat nasional yang disiarkan menerusi saluran televisyen pemerintah, Venezolana de Television (VTV), Encik Rodriguez berkata jumlah mangsa yang cedera meningkat kepada 11,267 orang, manakala seramai 12,841 penduduk dilaporkan terpaksa berpindah.

Beliau berkata lebih 4,000 anggota pasukan kecemasan yang dikerahkan ke kawasan terjejas berjaya mengeluarkan 6,461 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

"Harapan masih ada," kata beliau.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 782 gegaran susulan direkodkan sejak dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda kawasan itu.

Bagaimanapun, pakar seismologi mengesahkan kekerapan serta intensiti gegaran bawah tanah berkenaan semakin berkurangan sejak 48 jam lalu.

"Ancaman itu dilihat semakin berkurangan, namun belum berakhir," kata Encik Rodriguez sambil menggesa orang ramai supaya terus berwaspada di sekitar bangunan konkrit yang mengalami kerosakan.

Berdasarkan penilaian awal data satelit yang diterbitkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), lebih 58,000 bangunan berkemungkinan rosak atau musnah akibat gempa bumi itu.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan secara intensif, dengan ribuan anggota penyelamat dari lebih 30 negara mengeluarkan mangsa yang terselamat daripada runtuhan pada Rabu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, pihaknya sedang memperoleh 10,000 beg mayat bagi menyokong operasi pengurusan mangsa.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita