Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angka korban gempa bumi di Afghanistan cecah 1,000

Angka korban akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan Afghanistan meningkat kepada 1,000, dengan lebih 1,500 mangsa lain cedera, kata para pegawai pada Rabu (23 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban gempa bumi di Afghanistan cecah 1,000

Seorang anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan memberikan rawatan perubatan kepada seorang mangsa menyusuli gempa bumi di daerah Gayan, wilayah Paktika, pada 22 Jun 2022. (Gambar: Agensi Berita Bakhtar/AFP)

Diterbitkan : 23 Jun 2022 10:19AM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 10:19AM
PAKTIKA: Angka korban akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan Afghanistan meningkat kepada 1,000, dengan lebih 1,500 mangsa lain cedera, kata para pegawai pada Rabu (23 Jun).

"Lebih 1,000 orang terbunuh dan lebih 1,500 lagi cedera di wilayah Paktika," Agensi Anadolu menukil Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan wilayah yang memberitahu Agensi Berita Bakhtar.

Beliau menambah jumlah kematian mungkin meningkat sedang operasi menyelamat masih dijalankan di daerah-daerah Gayan dan Barmal di wilayah itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 29 maut dan 95 lagi cedera di wilayah Khost, sekali gus membawa angka korban kepada 1,029 dan 1,595 mangsa cedera di negara itu.

Paktika dan Khost adalah wilayah yang paling teruk terjejas di Afghanistan di mana ratusan rumah musnah akibat gempa bumi sekuat 6.1 magnitud yang melanda negara itu pada sebelah malam Rabu (22 Jun).

Sebelum ini, Timbalan Menteri Negara Pengurusan Bencana Maulvi Sharafuddin Muslim berkata sekurang-kurangnya 218 individu maut dan lebih 300 lagi cedera di daerah Giani sahaja.

Bencana itu menggegarkan wilayah sempadan timur Khost dan Paktika malam semalam, menyebabkan kemusnahan besar di kawasan tersebut.

Para pegawai Afghanistan berkata angka korban mungkin meningkat kerana berpuluh-puluh mangsa sedang berada dalam keadaan kritikal.

"Saya mempunyai laporan tragik dari wilayah asal saya, Paktika, di mana ratusan orang terbunuh dan cedera dalam gempa bumi yang dahsyat itu. Rumah-rumah hancur musnah dan orang ramai terperangkap di bawah runtuhan," kata jurucakap polis di ibu negara Kabul, Khalid Zadran, di Twitter.

"Pasukan bantuan dari Kabul sudah tiba di kawasan itu dan kerja menyelamat sedang dijalankan. Semua pertubuhan bantuan harus menyalurkan bantuannya kepada Paktika," tambah beliau.

Para pegawai Taliban juga sudah meminta agar bantuan serta-merta dihulurkan di kawasan yang dilanda gempa bumi itu.

Rakaman video dan gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan rumah-rumah ranap akibat gempa bumi yang dahsyat itu.
Sumber : Bernama/KF/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa