Skip to main content

Dunia

Angka korban Filipina meningkat kepada 11; Ribut Tropika Bualoi badai Vietnam

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban Filipina meningkat kepada 11; Ribut Tropika Bualoi badai Vietnam

Kanak-kanak menggunakan rakit untuk menyeberangi jalan yang dinaiki air berikutan hujan, diburukkan lagi oleh Ribut Tropika Bualoi, di Dela Paz, Binan, wilayah Laguna, Filipina pada 26 September 2025. (Gambar: Reuters/Noel Celis)

MANILA: Angka korban akibat Ribut Tropika Bualoi meningkat kepada 11 orang di Filipina pada Sabtu (27 Sep) sedang taufan itu melanda Vietnam, kata pihak berkuasa.

Ribut Tropika Bualoi membadai pulau-pulau kecil di bahagian tengah Filipina pada Jumaat (26 Sep), menumbangkan pokok dan tiang elektrik, menerbangkan bumbung rumah serta menyebabkan banjir dan memaksa 400,000 orang dipindahkan.

Antara yang paling teruk terjejas ialah pulau kecil Biliran, di mana lapan orang maut dan dua hilang, kata pegawai bencana wilayah Noel Lungay kepada AFP melalui telefon.

“Banjir besar melanda dan beberapa jalan raya masih ditenggelami air awal hari ini,” katanya.

“Penduduk yang dipindahkan mula pulang ke rumah masing-masing apabila cuaca bertambah baik,” tambahnya.

Pejabat pertahanan awam di Manila sebelum ini melaporkan tiga lagi kematian di pulau-pulau berdekatan Masbate dan Ticao, termasuk dua orang yang dihempap ​​pokok dan tembok akibat angin kencang.

Empat belas orang masih hilang di seluruh bahagian tengah Filipina, katanya, tanpa memberi butiran lanjut, manakala lebih 200,000 berada di pusat pemindahan di seberang laluan ribut.

Ribut Tropika Bualoi membadai, selepas Taufan Super Ragasa meragut nyawa 14 orang di seluruh utara Filipina.

Ribut Tropika Bualoi merentasi Laut China Selatan pada Sabtu (27 Sep) dengan taufan sekencang 120 kilometer sejam, menurut jabatan kaji cuaca negara Filipina.

Ia diramalkan berada di luar pantai bahagian tengah Vietnam menjelang petang Ahad.

Filipina dilanda 20 ribut dan taufan secara purata setiap tahun. Ia kerap melanda kawasan yang terdedah kepada bencana di mana berjuta-juta orang hidup dalam kemiskinan.

Para saintis memberi amaran bahawa ribut menjadi lebih kuat apabila dunia semakin panas akibat kesan perubahan iklim yang didorong oleh perbuatan manusia.

Ribut itu berlaku sedang orang ramai di Filipina menyuarakan kemarahan atas skandal yang melibatkan projek kawalan banjir palsu, yang dipercayai membolot berbilion dolar dana pembayar cukai.

Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan raya pada Ahad (21 Sep) untuk meluahkan kemarahan mereka, dengan tunjuk perasaan secara aman kemudiannya bertukar menjadi pertempuran di jalanan, dengan kenderaan polis dibakar.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita